Anak Chow Kit dapat kupon hadiah

Anak Chow Kit dapat kupon hadiah

Pengasas Grow The Goose mencetuskan idea pemberian kupon bagi setiap perbuatan baik atau kerja yang dilakukan kanak-kanak Chow Kit.

anak-chowkit
KUALA LUMPUR: Pertambahan kanak-kanak dan remaja tempatan di jalanan terutamanya di kawasan Chow Kit sangat membimbangkan sehingga ramai yang tertanya-tanya tentang masa depan mereka apabila dewasa kelak.

Kebanyakan mereka tidak menerima pendidikan formal dan sesetengah daripadanya langsung tidak mempunyai sijil lahir atau kad pengenalan, menyukarkan mereka melanjutkan pelajaran atau mendapatkan pekerjaan.

Mereka hidup dengan ibu bapa di laluan pejalan kaki dan menjalani kehidupan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selain bergantung kepada makanan sumbangan mereka yang pemurah.

Dengan matlamat membantu mereka keluar daripada kemiskinan dan memperkasakan mereka, pengasas Grow The Goose, Ida Faranina Othman mencetuskan idea supaya memberi hadiah kepada kanak-kanak ini melalui kupon bagi setiap perbuatan baik atau kerja yang mereka lakukan.

“Kupon makanan dan pakaian akan diberikan kepada setiap kanak-kanak namun terdapat juga kupon lain yang akan kita berikan kepada mereka jika terus berkelakuan baik, menghadiri kelas, bekerja dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

Kupon saguhati seperti tiket wayang atau bermain luncur ais akan diberikan berdasarkan prestasi mereka.

Projek rintis ini akan dilancarkan dengan kerjasama Yayasan Chow kit (YCK) bagi memberi manfaat kepada 100 kanak-kanak dengan bajet permulaan fasa 1 sebanyak RM500,000.

“Ideanya adalah memberi sistem kupon untuk kegunaan kanak-kanak ini. Jika kita beri wang tunai, kita risau duit itu akan disalahguna terutama oleh orang dewasa di sekeliling mereka,” kata Ida Faranina atau lebih mesra dikenali sebagai Nina.

Usahawan sosial itu bagaimanapun berkata idea berkenaan bukan sekadar untuk memenuhi kempen ‘rasa baik jangka pendek’ kerana ia membuka pintu kepada kanak-kanak ini agar dapat menikmati kehidupan sebagaimana kanak-kanak lain.

“Membuka pintu sebegini buat mereka akan lebih memperkasakan dan memberi motivasi kepada mereka untuk bekerja keras dan mencapai impian, bukan hanya berserah pada keadaan,” katanya.

Sambil berharap sistem itu dapat dilaksanakan secepat mungkin, Nina berkata beliau sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menjayakannya.

“Kami masih merangka mekanisme dengan YCK dan NGO, KL Krash Pad. Selain itu, kami mengalu-alukan rakan kongsi atau mana-mana individu untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata sistem itu boleh digunakan oleh keluarga yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Di kawasan PPR, majoriti keluarga di situ berpendapatan minimum. Oleh itu, melalui skim ini dapat mengurangkan beban keluarga dan kanak-kanak akan lebih produktif serta dapat menyumbang kepada pendapatan isi rumah,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.