Laporan: Malaysia berpihak Jepun dalam projek kereta api KL-Singapura?

Laporan: Malaysia berpihak Jepun dalam projek kereta api KL-Singapura?

Seorang pegawai Kedutaan Jepun di Singapura berkata, kelebihan terbesar negara itu ialah kualiti dengan memberi contoh perkhidmatan Shinkansen di Tokyo yang tidak menghadapi sebarang masalah atau kemalangan dalam tempoh 50 tahun.

projek-keretapi-malaysia-singapura-jepun
PETALING JAYA: Saingan antara China dan Jepun semakin sengit dalam projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR) yang bakal membuka tawaran tender kepada pembida tidak lama lagi.

China Press memetik portal berita China – Caixin sebagai melaporkan “keadaan” yang pada mulanya berpihak kepada China sahaja, kini wujud perubahan.

Pegawai Jepun yang dipetik portal berita itu berkata, negaranya berpeluang memenangi tender itu dan sedang meningkatkan standard kertas cadangan mereka.

Seorang pegawai Kementerian Luar China yang bertanggungjawab terhadap bidaan projek itu berkata: “Keadaan seolah-olah sudah berubah, (Malaysia) dahulunya memihak China.”

Menurut laporan portal berita itu, Malaysia dan Singapura dijadual membuka tawaran tender kepada pembida pada suku ke-4 tahun ini. Beberapa negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Perancis dan Jerman berminat mendapatkan tender itu.

Malah, Tokyo melabelkannya sebagai projek infrastruktur luar “paling utama” yang akan disertai konglomerat Jepun – Hitachi, Mitsubishi Heavy Industries, Sumitomo Corporation dan East Japan Railway Company (JR East) yang mengendalikan semua laluan kereta api berkelajuan tinggi – Shinkansen, di utara Tokyo.

Portal berita itu melaporkan ada pihak berpendapat, Malaysia kini memihak kepada Jepun selepas China tidak meneruskan pelaburan ke atas projek pembangunan Bandar Malaysia yang turut menempatkan terminal terakhir buat HSR di Kuala Lumpur.

Seorang pegawai Kedutaan Jepun di Singapura berkata, kelebihan terbesar negara itu ialah kualiti dengan memberi contoh perkhidmatan Shinkansen di Tokyo yang tidak menghadapi sebarang masalah atau kemalangan dalam tempoh 50 tahun ini.

Bukan itu sahaja, katanya, kecekapan Shinkansen juga tinggi dan walaupun China memenangi projek kereta api di Indonesia, projek itu tidak menunjukkan banyak kemajuan.

Mengenai saingan China dan Jepun, pegawai terbabit berkata: “Malaysia mementingkan syarat pelaburan dan dianggap berpendirian hampir sama dengan China.

“Singapura dan Jepun pula mempunyai pandangan sama terhadap infrastruktur asas dan menjangkakan proses pembidaan amat telus. Jepun terus berbincang dengan Singapura untuk menyempurnakan kertas cadangannya.”

Sebelum ini, China dikatakan menjangkakan penyerahan projek HSR kepada mereka sebagai sebahagian perjanjian untuk membangunkan Bandar Malaysia, di mana terminal terakhir HSR terletak di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, media melaporkan China Railway Engineering Corp (CREC) gagal mendapat kelulusan Beijing dan pembiayaan untuk projek Bandar Malaysia yang menyebabkan pembatalan perjanjian jualan saham (SSA) projek pembangunan Bandar Malaysia.

CREC ialah unit China Railway Group milik kerajaan China.

Pada 3 Mei lalu, TRX City Sdn Bhd yang dimiliki Kementerian Kewangan mengumumkan SSA dengan Iskandar Waterfront Holdings dan CREC membabitkan penjualan 60% daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd sudah luput dan terbatal kerana “gagal memenuhi obligasi pembayaran”.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan seluas 197 hektar yang akan dimajukan di tapak lapangan terbang lama, Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi, 7km dari pusat bandar raya.

Kerajaan sebelum ini berkata, projek yang dijangka mengambil masa 15 hingga 25 tahun untuk disiapkan itu, akan menjadi hentian terakhir bagi projek HSR yang dijangka siap pada 2026.

Kereta api laju itu dijangka dapat mengurangkan jumlah perjalanan antara Malaysia dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.