Bersorak untuk Pakistan, 15 warga India didakwa hasut

Bersorak untuk Pakistan, 15 warga India didakwa hasut

Individu yang didakwa menghasut akan hilang kelayakan menjadi penjawat awam, selain pasport mereka dirampas dan mungkin dipenjarakan seumur hidup, jika sabit kesalahan.

pakistan-india-kriket
PETALING JAYA: Polis India menahan 15 lelaki Islam yang meraikan kemenangan Pakistan menewaskan India dalam perlawanan akhir kriket Piala Juara-juara.

Warga India berusia 19 hingga 35 tahun itu ditahan di daerah Burhanpur, tengah Madhya Pradesh, atas dakwaan menghasut, berdasarkan aduan penduduk tempatan yang kumpulan lelaki itu melaungkan slogan pro-Pakistan dan membakar mercun selepas perlawanan berakhir Ahad malam.

“Kami terima aduan seorang lelaki Hindu tempatan yang mendakwa mereka bersorak selepas India kalah dalam perlawanan itu.

“Semua tertuduh juga didakwa dengan konspirasi jenayah,” kata Ketua Polis Burhanpur, Raja Ram Parihar kepada AFP.

Beliau berkata, sambutan meraikan kemenangan itu berterusan selama beberapa jam di kawasan sensitif, di mana 60% penduduk kampung itu beragama Islam.

Mereka yang dihadapkan ke mahkamah semalam dan akan dipenjarakan sehingga perbicaraan selesai.

Di India, individu dituduh menghasut akan hilang kelayakan menjadi penjawat awam, selain pasport mereka akan dirampas dan mungkin dipenjarakan seumur hidup, jika sabit kesalahan.

India dan Pakistan mempunyai sejarah permusuhan dan saling bersaing dalam sukan kriket.

Peminat kriket kedua-dua negara pernah ditahan sebelum ini kerana menyokong pasukan atau pemain pasukan lawan.

Pada 2014, kira-kira 60 pelajar dari India ditahan atas dakwaan menghasut, selepas mereka dituduh meraikan kejayaan Pakistan menundukkan India.

Tahun lepas, seorang lelaki Pakistan ditahan kerana mengibar bendera India selepas idolanya, Virat Kohli memenangi perlawanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.