
Beliau berkata ini termasuk mengadakan perbincangan dan perjumpaan dengan ketua polis daerah di kawasan masing-masing bagi mengenal pasti kawasan ‘panas’ yang mempunyai elemen buli.
“Kes buli bukan berlaku di semua sekolah, setiap daerah mungkin ada 2 atau 3 sekolah.
“Pengurusan sekolah perlu lebih rapat dengan polis, jika ada kes jangan takut laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilftri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Ghazali Ibrahim hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu buli yang kerap berlaku kebelakangan ini termasuk kes T Nhaveen, 18, yang maut di George Town, Pulau Pinang akibat dipukul dan didera oleh sekumpulan remaja termasuk 2 pelajar sekolah.
Mahdzir turut menekankan kepentingan guru disiplin dan kaunselor di setiap sekolah untuk meningkatkan kemahiran mereka semasa berdepan dan menangani pelajar yang cenderung untuk membuli dan dibuli.
“Bagaimanapun saya tidak bersetuju jika guru dipersalahkan jika kes buli berlaku. Masalah buli ini tanggungjawab bersama yang perlu diselesaikan oleh semua pihak,” katanya.
Pada majlis itu seramai 3,200 individu dari 143 cawangan UMNO di Padang Terap menerima sumbangan berbentuk kain pelikat, beras pulut dan wang tunai.