
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pengumuman bahan bakar itu tetap dilaksanakan secara mingguan walaupun ada permintaan supaya ia dibuat secara bulanan.
“Ada orang kata tukar semula dari mingguan kepada bulanan. Tidak, sistem yang kita ada ketika ini akan kekal,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian hari ini.
Mengenai formula baharu bagi menentukan petrol dan diesel, yang bertujuan menstabilkan industri minyak negara, beliau berkata ia masih dalam peringkat kajian.
Menurutnya beliau bertemu dengan syarikat minyak untuk membincangkan formula itu bagi memastikan ia tidak merugikan mana-mana pihak.
Pada Jumaat lepas, Hamzah berkata satu formula baharu harga minyak akan diumumkan bagi mengelak pengusaha stesen minyak kerugian sekiranya harga bahan api itu terus turun mengikut kaedah yang diguna pakai ketika ini.
Hamzah berkata kerajaan mahu formula itu memanfaatkan semua pihak termasuk pengguna, dan bukannnya menyukarkan mereka sekiranya stesen minyak ditutup akibat kerugian.
Ketika ini, terdapat 3,500 stesen minyak beroperasi di seluruh negara.