
Beberapa media Britain memetik polis Britain sebagai berkata mereka bergegas ke tempat kejadian di Seven Sisters Road sejurus menerima laporan sekitar 11.20 malam waktu tempatan.
The Independent melaporkan orang ramai mengepung van itu. Polis turut mengesahkan seorang lelaki ditangkap.
Masjid di Finsbury Park sebelum ini menjadi sasaran tuduhan ia terbabit dalam keganasan oleh bekas pemimpin pergerakan berhaluan kanan, English Defence League (EDL), Tommy Robinson.
Dipercayai umat Islam baru saja selesai solat Tarawih.
Kejadian itu merupakan insiden berdarah ketiga berlaku di London dalam tempoh kurang sebulan, selepas peristiwa serangan di pusat bandar raya dan kebakaran Grenfell Tower di utara Kensington yang meragut puluhan nyawa.
Polis masih belum mengklasifikasikan insiden terbaru ini sebagai keganasan.