
Mohd Nasaruddin Sairon yang berasal dari sebuah penempatan Felda di Kota Tinggi, Johor dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Lelaki berusia 41 tahun yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan tersebut selepas beliau memuat naik satu kenyataan tentang Najib di Facebook pada 8 Oktober 2016.
Kenyataan Nasaruddin itu dibaca pengguna Facebook lain dan seorang pengguna, Khalijah Mohamed membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada hari berikutnya.
Mereka yang didapati bersalah memuat naik kenyataan menyakitkan hati orang lain di ruang siber boleh didenda sehingga RM50,000 atau 12 bulan penjara atau kedua-duanya.
Pengarah Pendakwaan SKMM, Mohd Sophian Zakaria berkata, kesalahan itu serius dan penyalahgunaan media sosial merupakan trend sekarang.
“Tidak wajar menggunakan kata-kata menghina terhadap ketua kerajaan,” katanya.
Beliau meminta hukuman berat dikenakan kepada tertuduh sebagai amaran kepada pengguna media sosial lain.
Nasaruddin dalam rayuannya memohon hakim, Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertamanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 atau penjara 2 bulan sebagai ganti.
Nasaruddin yang membayar denda tersebut berkata, dia akan kekal dalam mahkamah sehingga 4 petang ini untuk memenuhi hukuman penjara sehari itu.