
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu jelas tidak memaparkan sifat-sifat mulia Islam yang melarang umatnya mengasari orang lain.
“Walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik, menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.
“Saya berasa amat kecewa dan sedih dengan insiden itu. Walaupun bukan seorang yang beragama Islam, beliau sepatutnya tidak dihalang daripada berbuat demikian apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.
Muhyiddin berkata demikian merujuk kepada insiden sekumpulan pemuda dirakam menghalang dan mengusir pasukan Pakatan Harapan yang mengedarkan kurma di bazar Ramadan di Kluang, Johor semalam.
Berdasarkan rakaman video yang diterima FMT semalam, kumpulan itu cuba menghalang Liew dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali serta pasukan mereka memasuki bahagian tertentu bazar.
Sheikh Umar mendakwa salah seorang pemuda terbabit pernah menghalang mereka memasuki bazar di bandar Kluang pada 2014.
Liew, Sheikh Omar dan seorang ahli PPBM Radzali Mohd Noor membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kluang 10 malam tadi.
Muhyiddin menambah, aktiviti Liew itu merupakan sebahagian tanggungjawab beliau sebagai ahli Parlimen kawasan Kluang untuk mendekati penduduk tanpa mengira kaum dan agama.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Johor berkata, setiap orang yang beragama Islam sepatutnya menampilkan akhlak sebagai seorang Muslim yang sebenar.
“Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak kasar kepada sesiapapun. Malah, Islam menuntut umatnya supaya bersikap rahmah atau mengasihi sesiapa sahaja,” katanya.