
Selasa lalu, video bertajuk “Legenda Cun Raya” tersebar di laman sosial dan dicemuh rakyat Malaysia yang kecewa dengan mesej seorang wanita berkulit gelap dianggap tidak cantik dan tidak diingini.
Dalam kenyataan awal Watsons semalam, pihaknya cuba mempertahankan video tersebut dan menjelaskan rasional kreatif dan mesej video tersebut.
Bagaimanapun dalam kenyataan hari ini, Pengurus Besar Watsons Malaysia Caryn Loh berkata walaupun niat mereka untuk menyampaikan konsep kecantikan dalaman dan luaran tetapi video itu menyinggung banyak pihak.
“Kami benar-benar memohon maaf di atas video ‘Legenda Cun Raya’ yang disiarkan di media sosial di Malaysia. Video 15 minit itu diilhamkan daripada filem legenda Melayu ‘Dayang Senandong’ yang pernah popular pada 1965.
“Malangnya, kita mengakui video itu tidak sesuai dengan nilai yang kita pegang di Malaysia,” kata Loh.
Syarikat itu mengakui bertanggungjawab menghasilkan video tersebut dan memohon maaf kerana terdapat beberapa elemen yang menyinggung masyarakat.
“Berikutan maklum balas daripada orang ramai, Watsons segera memadamkan video tersebut dan kami menghargai maklum balas yang jujur terutama menjelangnya perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri.”
Netizen kecam iklan Lagenda Cun Raya Watsons tak jaga sensitiviti