
Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata polis mengenal pasti identiti kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 20-an itu susulan penahanan seorang pemandu Uber berusia 31 tahun di Kajang pada 12.45 tengah malam semalam.
“Hasil soal siasat ke atas pemandu Uber itu, kita percaya dia mempunyai kaitan dengan 2 suspek berkenaan melakukan samun ke atas penumpang tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Selangor yang baharu iaitu Datuk Ab Rashid Ab Wahab.
Ab Rashid sebelum ini merupakan Ketua Polis Perlis akan menggantikan Datuk Mohd Fuad Abd Latiff yang bersara esok.
Mengulas lanjut, Abdul Samah berkata polis juga akan menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek pernah melakukan samun ke atas penumpang lain sebelum ini.
“Kita minta sekiranya ada penumpang Uber yang pernah disamun supaya tampil membuat laporan polis… sebab setakat ini kita hanya menerima satu laporan sahaja yang membabitkan pemandu Uber dan kedua-dua suspek berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lepas, 2 pelajar kolej masing-masing berusia 24 tahun membuat laporan polis di Kajang mendakwa disamun 2 lelaki menaiki sebuah motosikal selepas kenderaan Uber yang dinaiki mereka berhenti di satu lokasi di Batu 9, Cheras.
Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa mereka turut dipukul dengan topi keledar oleh kedua-dua suspek yang kemudian melarikan barang berharga milik mereka.