
Dr Irwan Shah Zainal Abidin, Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia di Universiti Utara Malaysia berkata, dengan perjanjian itu, rakyat Malaysia juga boleh menjangkakan penurunan harga kereta secara berperingkat pada masa akan datang, matlamat utama Dasar Automotif Nasional (NAP).
“Saya melihat kerjasama itu sebagai peluang besar bagi Geely melalui Proton untuk mengakses pasaran Asean yang mempunyai 600 juta penduduk. Bagi Proton, ia merupakan peluang untuk menembusi pasaran China yang luas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, transformasi Volvo dalam tempoh kurang 5 tahun selepas diambil alih pengeluar kereta dari China itu akan dilaksanakan di Proton juga, berikutan Geely adalah entiti dipacu pasaran.
Rekod prestasi syarikat itu menunjukkan ia sudah memulihkan beberapa pengeluar kereta bermasalah.
Melalui pembelian 49.9% pegangan dalam Proton, pengasasnya, Li Shufu, sudah pasti yakin untuk meletakkan syarikat Malaysia itu kembali di landasan betul.
“Li Shufu ialah seorang usahawan dan usahawan yang bukan sahaja akan membeli sesuatu atas dasar pengambilalihan. Beliau sudah mengkaji risiko dan daya maju untuk jangka masa panjang dan pendek, dan dengan kapasiti pengeluaran Proton sebanyak 400,000 kereta yang kini kurang dimanfaatkan.
“Geely baru sahaja membuka kilang di London Taxi, khusus untuk mengusahakan model kereta elektrik dan hibrid, dan ini akan memberi impak positif kepada pengeluaran di Proton pada masa depan,” kata Irwan Shah.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada minggu lalu berkata, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Geely akan menyuntik platform kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada Proton dan menawarkan SUV paling laris.
Langkah ini akan membolehkan Proton memasuki segmen baharu yang berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu.
Syed Faisal juga berkata, Geely ialah rakan kongsi terbaik Proton kerana ia bersetuju mengekalkan nama pengeluar kereta itu dan menyasarkan untuk mendapatkan kembali kedudukan nombor 1 di negara ini.
Irwan Shah berkata, sesetengah rakyat Malaysia yang ragu-ragu terhadap kerjasama itu adalah mereka yang masih percaya dengan cara lama dalam industri automotif dan tidak sedar kepada perubahan dalam trend dan model perniagaan.
Kerjasama terbaru ini merupakan satu daripada kebanyakan yang berlaku di seluruh dunia, berikutan keuntungan industri adalah pengeluaran kereta berkualiti yang dapat bersaing dalam pasaran global dan terbuka.