
Timbalan Pengarah SPR Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri berkata, penolong pendaftar pemilih ditempatkan di setiap kem tentera di Selangor menyemak daftar nama anggota tentera.
“Sama ada tentera baru atau tentera yang bertukar kem itu saya tidak pasti, tetapi jumlah itu adalah tentera berserta pasangannya,” katanya kepada FMT.
Pimpinan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini mempersoalkan 28,416 nama anggota tentera dan keluarga termasuk 7,600 di Kuala Lumpur yang ditambah SPR melalui proses tuntutan.
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendakwa seoalah-olah SPR menggunakan jalan belakang untuk membawa masuk pengundi ke kawasan tertentu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula bimbang ia mempengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-14 sekaligus memberi kelebihan buat Barisan Nasional (BN).
Kamarul Azman berkata, pihaknya hanya mempunyai bidang kuasa di Selangor.
“28,000 itu adalah jumlah yang dinyatakan di seluruh negara, bukan di Selangor sahaja. Dalam memorandum yang dinyatakan Ong Kian Ming, mereka minta agar SPR Selangor jawab,” katanya.
Menurutnya, SPR Selangor sudah melakukan pameran tuntutan dari 25 Mei hingga 31 Mei lalu, memberi peluang kepada anggota tentera menambah nama sekiranya nama mereka tercicir.
“Kita buat tuntutan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) selama 2 minggu, kemudian apabila semakan nama mereka tidak ada, datang ke pejabat SPR untuk lakukan tuntutan.
“Apabila tercicir lagi nama mereka, kita akan buat sekali lagi pameran selama seminggu, 25 Mei hingga 31 Mei lalu merupakan pameran kedua yang dibuat,” katanya.