
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan mereka direman 7 hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Menurut Utusan Online, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata 32 daripada yang ditahan dari UPNM sementara 4 lagi dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 21 tahun.
Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut tahun ke-3 jurusan kejuruteraan elektrik, disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang selepas dihantar mendapatkan rawatan di situ oleh beberapa orang rakan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengarahkan tentera dan UPNM menjalankan siasatan segera.
“Tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” katanya di Twitter.
Tentera menyediakan bantuan bagi membawa jenazah ke kediaman waris di Johor Bahru dan menguruskan urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Kurnia, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.