‘Kenapa marah adun DAP, BN sedia bas percuma 5 tahun lalu’

‘Kenapa marah adun DAP, BN sedia bas percuma 5 tahun lalu’

Lim Lip Eng berkata, sebenarnya bas percuma untuk semua penumpang tanpa mengira kewarganegaraan disediakan kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional sejak 5 tahun lalu.

lim-lip-eng
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hairan dengan tindakan Gerakan Pemikir Muda memarahi seorang wakil rakyat DAP mencadangkan warga asing dibenarkan menaiki Bas Muafakat Johor (BMJ) secara percuma, sedangkan kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional sudah memulakan langkah itu 5 tahun lalu.

“Lima tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan perkhidmatan bas percuma Go-KL di Kuala Lumpur yang menerima pujian daripada ahli Parlimen pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan bas Go-KL yang diperkenalkan pada 2012 dengan laluan dikelaskan mengikut warna, iaitu hijau, ungu, merah dan biru turut dinaiki pelancong asing kerana ia melalui destinasi pelancongan termasuk KLCC, Muzium Negara, KL Sentral, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka.

Pemimpin DAP itu berkata, pengangkutan awam percuma untuk semua penumpang tanpa mengira kerakyatan wajar dipromosi secara meluas sebagai satu daripada cara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran karbon yang dihasilkan kenderaan persendirian.

“Bukan sahaja itu, perkhidmatan bas percuma akan menarik minat pelancong untuk melawat ceruk rantau di Johor dan juga di Kuala Lumpur, yang biasanya kurang dilawati jika tiada perkhidmatan pengangkutan awam percuma.

“Manfaat ekonomi yang dibawa oleh pelancong kepada penduduk tempatan juga sangatlah besar.”

Semalam, jurucakap Gerakan Pemikir Muda, Fikri Allaudin melalui ruangan ulasan Malaysiakini berkata, cadangan Adun Yong Peng, Chew Peck Choo pada sidang Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini boleh mencetuskan provokasi dan publisiti terdesak bagi meraih populariti murahan.

Beliau menyifatkan tindakan tidak berakal dan tidak sensitif wakil rakyat itu sebenarnya mempertikaikan hak serta keistimewaan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor.

Sinar Harian pada 24 April 2016 memetik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menafikan bas percuma kepada penduduk Selangor kini dipenuhi warga asing.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sukar menyekat warga asing yang mahu menaiki bas berkenaan.

“Memang kita ada terima aduan sebahagian penumpang adalah warga asing, namun perkara tersebut bertepatan dengan prinsip asas kerajaan negeri, iaitu menyediakan perkhidmatan ini kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menampung kos sara hidup.

“Orang ramai perlu menerima hakikat warga asing juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan negeri ini,” kata Azmin.

Dalam pada itu, Lim berkata, tradisi muhibah dan toleransi di kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini semakin hilang.

Selain Gerakan Pemikir Muda, Lim turut merujuk tindakan Jaringan Muslimin Pulau Pinang melarang Lim Guan Eng menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan, melainkan ketua menteri Pulau Pinang itu memeluk Islam.

Beliau menyifatkan tindakan 2 kumpulan itu mengarut dan meramalkan lebih banyak kumpulan akan tampil menyerang DAP dengan pelbagai tuduhan tidak masuk akal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Pihak bertanggungjawab harus bertindak memperbetulkan tindakan golongan ini dengan secepat mungkin sebelum ia membarah dalam masyarakat.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.