
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) Augustine Tuuga berkata bengkak pada pipi kiri Puntung, yang kemudian membawa kepada pengesanan tunjang giginya dijangkiti kuman, semakin teruk dan 2 biopsies yang dilakukan selepas pembedahan menunjukkan haiwan itu menghidap kanser kulit dikenali sebagai squamous cell carcinoma.
“Kanser itu merebak dengan pantas sejak seminggu lepas. Pakar dari beberapa negara sependapat bahawa keadaan itu boleh membawa maut sama ada ia dirawat atau tidak.
“Hari ini, Puntung tidak lagi mampu bernafas melalui nostril kirinya, dia tidak lagi dapat mengeluarkan suara, dia berada dalam kesakitan dan keadaannya merosot dengan cepat.
“Selain memberi ubat penahan sakit, tiada siapa yang boleh melakukan apa-apa lagi dan kami tiada pilihan lain kecuali bersetuju dengan nasihat perubatan oleh para profesional dan sejajar dengan itu, membenarkan penggunaan kaedah eutanasia ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, serta menjelaskan bahawa SWD merancang untuk melakukan eutanasia terhadap Puntung pada 15 Jun.
Tuuga mengaku keputusan menjadikan haiwan itu tidur untuk selama-lamanya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diambil, tetapi para pakar bersetuju itu adalah langkah terbaik, daripada membiarkan badak itu terus menanggung kesakitan dan penderitaan.
Sementara itu, pengarah eksekutif Borneo Rhino Alliance (Bora) Datuk Dr Junaidi Payne berkata mereka yang terlibat dengan kehidupan Puntung sejak 10 tahun lepas, termasuk Bora, amat sedih apabila mendengar berita itu.
Katanya, antara mereka adalah pihak yang terlibat menjaga kebajikan Puntung, termasuk sebuah yayasan amal antarabangsa yang menumpukan perhatian terhadap melindungi badak daripada kepupusan, SOS Rhino, yang memantau Puntung ketika ia mendiami hutan Tabin sejak 2007, mereka yang menangkapnya pada 2011 dan mereka yang menjaga haiwan itu setiap hari.
Menurut Payne, Bora sedang membuat persiapan untuk cuba mendapatkan telur atau oosit daripada Puntung, yang dianggar berusia sekitar 25 tahun.