Skim forex: Tahanan Poca dibebaskan selepas 59 hari

Skim forex: Tahanan Poca dibebaskan selepas 59 hari

Hakim mengarahkan Vishnu Moorthy Raja Singgam memakai peranti pemantauan elektronik di pergelangan kaki untuk 59 hari seterusnya.

Vishnu-Moorthy-gavel
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) atau Akta 297 dalam siasatan ke atas penipuan pelaburan tukaran mata wang asing dibebaskan selepas ditahan hampir 2 bulan.

Mahkamah sesyen hari ini membebaskan jurujual Vishnu Moorthy Raja Singgam, selepas tempoh tahanan 59 hari tamat.

Timbalan pendakwaraya Nabilah Ahmad Poad memberitahu mahkamah bahawa Lembaga Pencegahan Jenayah belum membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan tahanan untuk2 tahun lagi, atau meletakkan Vishnu di bawah kediaman terhad atau membebaskannya.

Hakim Shamsudin Abdullah mengarahkan Vishnu memakai peranti pemantauan elektronik (EMD) di pergelangan kaki untuk 59 hari seterusnya sehingga 22 Julai, seperti yang ditetapkan undang-undang.

“Jangan tanggalkan atau rosakkan alat itu, atau kamu akan didakwa,” kata Shamsudin.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan Vishnu melaporkan diri ke balai polis pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.

Vishnu ditahan sejak 29 Mac dalam siasatan ke atas skim pelaburan forex. Penahanannya kemudian dilanjutkan lagi kepada 38 hari pada 18 April.

Beliau cuba mencabar perintah tahanan melalui semakan terhadap keputusan mahkamah membenarkan penahanan tersebut dan permohonan habeas corpus, tetapi gagal.

Dalam kenyataan 29 Mac lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Acryl Sani Abdullah berkata 6 orang ditahan di bawah sindiket skim forex Venus FX yang didakwa menipu RM80 juta daripada 23,000 pelabur.

Enam orang kemudian ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Poca.

Bekas pemimpin MIC R Ramanan membuat laporan polis terhadap seorang “Datuk Seri” dan isteri yang didakwa memiliki syarikat pelaburan forex itu

Bercakap kepada pemberita selepas pembebasan Vishnu, isteri A Magaswarie, yang mengandung 7 bulan, tidak berpuas hati walupun suaminya dibebaskan.

“Dia hanya dibebaskan dengan ikat jamin, dan sekarang dia perlu memakai peranti pemantauan.

“Mengapa dia perlu melalui semua seksaan itu sejak 2 bulan lalu?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.