Mustapa yakin Geely mampu pacu prestasi Proton

Mustapa yakin Geely mampu pacu prestasi Proton

Mustapa Mohamed berharap pakatan itu akan membolehkan Proton mendapat akses kepada pasaran pembuat kereta sedia ada, khasnya di China serta pasaran kenderaan berpemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara.

mustapa-proton
KUALA LUMPUR: Keputusan DRB-Hicom Bhd menjalin pakatan dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd jelas membuktikan komitmen kukuh Proton Holdings Bhd bagi menjayakan pelan pemulihannya, selain memenuhi syarat pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diluluskan kerajaan pada April tahun lepas.

Semalam, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton kepada syarikat automotif China itu, termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus daripada Proton pada harga £51 juta.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan rekod pencapaian Geely, kumpulan itu mampu memacu prestasi jualan dan pengeluaran Proton.

“Pakatan dengan Geely akan menjadi permulaan era baharu untuk Proton. Perjalanannya masih jauh, namun saya yakin ini merupakan satu halu tuju yang tepat.

“Tahun lepas, Proton memperkenalkan 4 model baharu dan kami berharap dapat melihat peningkatan berterusan dalam usaha penambahbaikan model-model kenderaan keluarannya hasil memanfaatkan kemudahan yang akan disediakan pihak Geely,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas jalinan pakatan itu.

Geely yang juga antara firma automotif utama China, mencatat pertumbuhan sebanyak 50% tahun lepas menerusi 766,000 unit kenderaan.

Malah, usaha pengambilalihan Volvo yang dilaksanakan syarikat itu pada 2010 juga terbukti berjaya, apabila Volvo mencatat jualan 540,000 kenderaan pada 2016, iaitu peningkatan lebih 200,000 unit pada 2009 – tempoh sebelum pembelian berkenaan.

Pada masa sama, Mustapa juga berharap perjanjian itu akan membolehkan Proton mendapat akses kepada pasaran pembuat kereta sedia ada, terutamanya di China serta pasaran kenderaan berpemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara.

Selain itu, ia juga membolehkan Proton menikmati kemudahan teknologi penyelidikan dan pembangunan Geely, termasuk pelbagai rangkaian platform berkaitan.

“Lebih penting lagi, ia juga boleh merealisasikan potensi penuh kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam, Selangor dengan kapasiti gabungan sebanyak 380,000 unit.

“Ini kerana Proton hanya beroperasi 40% daripada kapasiti sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas,” katanya.

Mustapa berkata, sejak pelaksanaan Dasar Automotif Nasional pada 2006, kementerian itu berusaha gigih bersama barisan pengeluar kenderaan, termasuk Proton untuk meningkatkan eksport kereta ke peringkat rantau dan global.

“Prestasi eksport kereta kita suram dengan hanya mencecah 33,438 unit pada tahun lepas. Proton misalnya mengeksport 301 unit tahun lepas berbanding tempoh sebelum ini yang menyaksikannya mengeksport kira-kira 20,000 unit setiap tahun.

“Menerusi pakatan ini, adalah diharapkan dapat merancakkan semula eksport Proton dan membolehkannya mencatat pertumbuhan pada skala besar,” katanya.

Selain itu, mengulas pembelian Lotus oleh Geely, Mustapa berkata, ia dapat meningkatkan pertumbuhan kereta buatan Britain itu di peringkat global.

“Penjualan itu turut menamatkan antara cabaran getir dihadapi Proton kira-kira sedekad lamanya. Ini disebabkan Lotus yang dibeli oleh Proton pada 1996, sememangnya berdepan masalah kewangan,” katanya.

Kerajaan akan bayar balik RM1.1 bilion kepada Proton

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.