Menteri: 61% mangsa jenayah seksual ialah kanak-kanak

Menteri: 61% mangsa jenayah seksual ialah kanak-kanak

Rohani Abdul Karim berkata, jumlah itu merupakan sesuatu yang serius kerana kanak-kanak terbabit akan membesar dengan kesan dalaman negatif.

Rohani-kanak2
KUALA LUMPUR: Sebanyak 61% daripada 12,926 mangsa kes jenayah seksual yang dilaporkan untuk tempoh 3 tahun sejak 2014 melibatkan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan sesuatu yang serius kerana kanak-kanak terbabit akan membesar dengan kesan dalaman negatif.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu keganasan rumah tangga dan kanak-kanak dan peranan kami untuk memulihkan semula mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan mangsa seksual ini agar mereka dapat kembali meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis penutupan kursus kepimpinan pegawai kanan polis wanita hari ini berkata, statistik PDRM menunjukkan kes keganasan rumah tangga meningkat kepada 5,796 kes tahun lepas berbanding 5,014 kes pada 2015.

Katanya, kerajaan meletakkan komitmen tinggi dalam menangani isu itu dengan mewujudkan pelbagai undang-undang, termasuk membentangkan cadangan undang-undang khas, iaitu Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selain meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Dalam pada itu, Rohani berharap PDRM dapat mencapai sasaran 30% pegawai kanan polis wanita di peringkat pembuat keputusan bagi pangkat Superintendan Polis dan ke atas.

“Menambah bilangan polis wanita sebanyak 15% dalam masa 3 tahun merupakan antara 7 aspirasi untuk menjulang perkhidmatan polis wanita di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, PDRM bersetuju untuk kembali mengaktifkan semua penugasan pegawai kanan polis wanita bagi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pernah mendapat pengiktirafan PBB pada 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.