
Sisters in Islam (SIS) menerusi e-mel yang dihantar kepada FMT berkata, rakyat tidak seharusnya melihat petikan Bible sebagai cubaan untuk menyebarkan agama Kristian, sebaliknya beliau hanya berkongsi perjalanan hidupnya semata-mata.
“Sisipan petikan kitab Bible dan perbincangan mengenai hubungannya dengan kepercayaannya memaparkan kepercayaan dan keyakinan beliau terhadap agamanya dalam membantu beliau berkhidmat kepada rakyat.”
Buku biografi “Becoming Hannah: A Personal Journey” karya wakil rakyat DAP itu baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff mendakwa buku itu mampu mengubah dirinya sehingga terdorong kepada ajaran Kristian kerana “terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible”.
Kamarul yang membuat laporan polis terhadap adun Subang Jaya itu atas dakwaan cuba menyebarkan agama Kristian juga berkata, buku biografi Yeoh hanya boleh dijual di kedai buku yang menjual bahan agama Kristian.
SIS mengkritik Kamarul dengan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
“Hujah Kamarul kurang justifikasi mengenai hasrat Yeoh cuba menyebarkan ajaran Kristian dan menggambarkan beliau secara negatif, terutamanya terhadap masyarakat Islam.”
SIS berkata, Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada semua individu untuk mengamal dan menganut agama mereka, termasuk rakyat daripada agama lain.
“Kepercayaan dan keyakinan terhadap agama kami tidak luntur dengan hanya membaca sebuah autobiografi yang mempunyai petikan atau perumpamaan diambil daripada buku agama lain.”
SIS bukan orang pertama tampil mempertahankan Yeoh, yang memenangi DUN Subang Jaya pada 2008 dengan majoriti besar, sebelum dilantik menjadi speaker termuda pada usia 34 tahun pada 2013.
Pemimpin pembangkang seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Adun PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mempertahankan Yeoh.
Pada 15 Mei lalu, Yeoh membuat laporan polis terhadap Kamarul berhubung sebuah esei yang dimuat naik ke Facebooknya bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP”, yang antara lain menuduh DAP mencampur adukkan ajaran Kristian dengan politik.
Yeoh pula dalam laporan yang dibuat di Balai Polis USJ mendakwa 16 pihak lain, termasuk Harakah Daily dan Utusan Malaysia, serta beberapa blog turut menyiarkan esei Kamarul yang berbaur fitnah itu.
Bimbang dirinya kagum ‘tuhan Hannah Yeoh’, pensyarah buat laporan polis