
Howard Lee Chuan How yang pertama kali menjadi adun selepas memenangi kerusi DUN Pasir Pinji atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu berkata, selama ini beliau ialah warganegara Malaysia.
“Saya tidak pernah mendapat kewarganegaraan mana-mana negara di luar Malaysia, tidak kira melalui permohonan atau kelahiran. Kewarganegaraan Malaysia saya tidak dapat dinafikan, dari segi semangat dan undang-undang.
“Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja mencabarnya melalui pelbagai saluran betul sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.
Semalam, seorang blogger yang menamakan dirinya Lim Sian See mendakwa Lee hanya kembali ke Malaysia beberapa tahun lalu, selepas permohonannya untuk menjadi warganegara British ditolak.
Beliau turut mendakwa Lee pernah bertanding sebagai calon Parti Demokratik Liberal (LDP) pada pilihan raya umum 2010 di United Kingdom, tetapi gagal menyebabkan beliau terpaksa pulang ke Malaysia sebelum bertanding atas tiket DAP pada PRU13.
“Saya mengutuk berita palsu yang direka blog dikaitkan dengan Umno dan Barisan Nasional untuk memfitnah tokoh pembangkang ketika pilihan raya semakin hampir.
“Saya tidak akan membenarkan khabar angin itu menghalang saya daripada misi menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dan mempunyai kerajaan alternatif yang bersih dan adil.”
Lee turut menasihatkan rakyat tidak dipengaruhi gosip palsu kerana usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.
Katanya, beliau tidak akan membuang masa untuk membuktikan tuduhan itu palsu, sebaliknya pihak terbabit yang perlu membuktikan dakwaannya betul.