
“Janganlah taksub sampai soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya dikebelakangkan kerana ketaksuban sesetengah pihak,” Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menulis dalam surat terbuka kepada Pakatan Harapan hari ini.
“Ketaksuban ini sampai ke satu tahap di mana rakan seperjuangan di ‘ambush’ semasa Kongres PKR.”
Saddiq berkata insiden Ahad lalu di mana ratusan perwakilan PKR bersorak sambil membawa sepanduk “Anwar PM ke-7”, seolah-olah cuba memalukan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing pengerusi dan presiden PPBM yang hadir kongres tersebut sebagai tetamu PKR.
“Apakah motif tindakan tersebut? Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Tun, Muhyiddin dan PPBM? Adakah mereka merasakan sokongan rakyat khususnya orang Melayu akan bersama mereka dengan perlakuan sebegitu yang mampu mencalar keutuhan bersama dalam Pakatan?” soal Saddiq dalam surat terbuka kepada Pakatan Harapan hari ini.
Saddiq berkata soal siapa jadi perdana menteri boleh diselesaikan melalui bancian atau undian oleh sebuah badan bebas.
“Menggunakan strategi ini bolehlah kita mengenal pasti siapakah pemimpin wibawa yang menjadi harapan rakyat ketika ini dan dijadikan garis panduan dalam perbincangan Pakatan Harapan untuk siapa yang lebih layak menerajui Malaysia,” katanya.
‘Tak senang dengan PPBM?’
Insiden sorakan nama Anwar di depan Dr Mahathir menerima kecaman bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, yang sebelum ini mencadangkan bekas perdana menteri itu dilantik semula ke jawatan itu walaupun hanya sementara sekiranya pembangkang menang.
Ia mengundang teguran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang turut menyelar Zaid kerana “tidak diplomatik”, disusuli dengan serang balas Zaid yang menyifatkan Rafizi tidak dapat menerima sebarang kritikan.
Saddiq dalam surat terbukanya berkata Dr Mahathir amat menitik beratkan perpaduan di antara parti pembangkang sehinggakan beliau yang pernah mencadangkan nama Muhyiddin sebagai perdana menteri kini tidak lagi mahu mengungkit perkara itu selepas menerima reaksi negatif.
“Namun apa yang berlaku di Kongres PKR adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Dr Mahathir dan PPBM jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikit pun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya,” katanya.
Mac lalu, PPBM menyertai Pakatan Harapan dianggotai PKR, DAP dan Amanah, menjadikan parti itu rakan ke-4 gabungan pembangkang yang turut merancang menggunakan satu logo pada pilihan raya umum akan datang.
Tetapi Saddiq hari ini mempersoalkan sama ada PKR kini tidak senang dengan kehadiran PPBM dalam Pakatan Harapan.
“Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan?” soalnya.
Semalam, dalam wawancara eksklusif bersama FMT di pejabatnya, Dr Mahathir menolak cadangan beliau kembali memegang jawatan PM.
Sebaliknya, beliau berkata lebih penting pembangkang menang pilihan raya dulu.
“Kalau kita kalah, tiada siapa pun boleh jadi perdana menteri,” katanya, yang turut berkata beliau di Kongres PKR dan tidak mengangkat sepanduk Anwar kerana memahami ia program PKR.
Dr Mahathir dan pimpinan PPBM yang hadir bagaimanapun menandatangani petisyen menyokong pembebasan Anwar, yang kini menjalankan hukuman 5 tahun penjara.
“Tapi semua itu seakan tidak dihiraukan apabila kepimpinan tertinggi PPBM ini seakan ‘dipaksa’ dan ‘diperangkap’ untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Wan Azizah dan Anwar Ibrahim selaku perdana menteri Malaysia ke-7! Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri,” tulis Saddiq merujuk presiden PKR yang dicadang menjadi perdana menteri sementara menunggu suaminya dibebaskan.
Saddiq berkata beliau faham sejarah “pahit” lalu yang menyaksikan permusuhan penyokong Dr Mahathir dan Anwar.
“Namun adilkah apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam andai kiranya kesalahan yang suatu masa pernah dilakukan bapak-bapak kita hingga rakyat terhukum?
“Kita hanya mewarisi pertelingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita keranakesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan Umno mampu terus berkuasa. Ini bukan lagi salah Umno,” tulisnya.
Zaid bidas Rafizi, Anwar tidak akan bawa PH menuju kemenangan
Kalau kalah PRU14, tiada siapa boleh jadi PM, kata Dr Mahathir