Saya jumpa exco PAS bincang soal akhirat, kata Azmin

Saya jumpa exco PAS bincang soal akhirat, kata Azmin

Azmin Ali berkata, pertemuan semalam tidak perlu dianggap serius kerana ia berlaku ketika menunggu ketibaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli ke Sekinchan.

azmin-ali-pas-exco
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertemuannya dengan exco PAS semalam tidak membincangkan kedudukan mereka mahupun rombakan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, pertemuan itu tidak perlu dianggap serius kerana ia berlaku sementara mereka menunggu keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Sekinchan.

“Pertemuan semalam hanyalah sementara menunggu keberangkatan tuanku, kami hanya makan-makan dan minum kopi.

“Tidak ada (bincang soal status exco PAS), hanya bincang mengenai soal ukhrawi (akhirat),” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di Stadium Malawati hari ini.

Ahad lalu, Azmin yang juga timbalan presiden PKR dilaporkan berkata, Biro Politik parti itu belum berbincang mengenai nasib 3 exco PAS dalam kerajaan Selangor, susulan keputusan Majlis Syura Ulama menamatkan “tahaluf siyasi” dengan PKR pada 11 Mei lalu.

Beliau berkata, PKR akan menentukan tarikh untuk mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dan sehingga itu berlaku, kedudukan Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal dalam pentadbiran Selangor.

Sabtu lalu pula, ahli Parlimen Gombak itu berkata, pihaknya belum memaklumkan kepada Istana Selangor mengenai penamatan kerjasama politik antara PKR dan PAS baru-baru ini dan tiada perbincangan mengenai kedudukan 3 exco parti Islam itu dengan Sultan Selangor.

Mengulas lanjut, Azmin hari ini menyifatkan pertemuan yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, semalam tidak menghairankan.

“Itu kawasan dia. Tuanku berangkat ke Sekinchan, kawasan itu terletak dalam daerah Sabak Bernam,” katanya merujuk Sallehen sebagai adun Sabak.

Pertemuan semalam dipercayai yang ke-2 antara Azmin dan pemimpin PAS Selangor sejak kerjasama politik kedua-dua parti ditamatkan. Kali pertama mereka mengadakan perbincangan ialah 12 Mei lalu apabila Azmin memanggil 3 exco terbabit dan Sallehen ke pejabatnya.

PKR belum bincang nasib exco PAS, kata Azmin

Azmin belum maklum penamatan kerjasama PAS-PKR kepada Istana

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.