Warisan selar tuduhan Shafie ada kaitan militan Sulu

Warisan selar tuduhan Shafie ada kaitan militan Sulu

Parti pembangkang Sabah itu berkata gambar Shafie dan komander Sulu diambil ketika majlis makan malam yang dihoskan Abdullah Ahmad Badawi

Darrel-Liking
PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar cubaan memburukkan nama baik Presidennya Datuk Seri Shafie Apdal dengan mengaitkan beliau dengan komander militan Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Isu itu timbul baru-baru ini selepas seorang pemimpin Umno Sabah, Datuk Ainal Fattah mencabar Shafie menjelaskan gambarnya bersama Agbimuddin Kiram, yang mengetuai 235 militan bersenjata menyerang Sabah pada Februari 2013 di bawah arahan Jamalul Kiram III.

Pertempuran antara militan dengan pasukan keselamatan berlangsung lebih sebulan dan mengakibatkan kematian 10 anggota keselamatan negara, 56 militan dan 6 orang awam.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking di Facebook hari ini berkata gambar itu diambil ketika majlis makan makan yang dihoskan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau turut memuat naik gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Agbimuddin, yang pernah tersebar di internet, dan mencabar Najib menjelaskan gambar tersebut.

“Jika Shafie ada sebarang kaitan dengan militan Sulu atau pemimpin mereka, mengapa dia tidak disiasat sebelum ini?

“Mengapa tiada soalan yang ditanya mengenai Abdullah atau Najib Razak? Mengapa mereka tidak disiasat juga? Mengapa pendirian kerajaan persekutuan mengenai hubungan dengan sultan Sulu tidak dipersoalkan?” kata Leiking.

Leiking, yang juga ahli Parlimen Penampang, turut mempersoalkan mengapa mayat militan dikebumikan di Sabah.

“Mengapa tidak ada sebarang permintaan bantuan undang-undang bersama untuk membicarakan Kiram sekeluarga di Filipina dan mengapa Filipina belum menggugurkan tuntutan ke atas Sabah?”

Sebelum ini, Leiking mendakwa Agbimuddin memiliki kewarganegaraan Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai penolong pegawai daerah di Kudat, Sabah.

Menteri dalam negeri ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata beliau tidak dapat mengesahkan Agbimuddin memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Akhbar Sabah, Daily Express baru-baru ini melaporkan Ainal, yang merupakan ketua Umno Cawangan Pulau Bum-Bum, menggesa Shafie menjelaskan adakah gambar beliau dan Agbimuddin itu palsu.

Ainal berkata dakwaan Shafie kenalan komander Sulu itu bercanggah dengan seruan politik “Sabah untuk rakyat Sabah”.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.