
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff baru-baru ini menyifatkan buku “Becoming Hannah” karangan speaker Selangor itu menjurus kepada penyebaran dakyah Kristian, kerana ia “terlalu banyak” petikan Bible dan boleh “memujuk, mempengaruhi, atau menghasut” bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderung kepada ajaran Kristian.
Tetapi pengkritik Kamarul berkata buku itu mengenai perjalanan hidup Hannah, seorang Kristian, yang sudah pasti mengaitkan kehidupannya dengan kepercayaannya.
Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata hujah Kamarul tidak munasabah dan menghina kebijaksanaan umat Islam.
“Itu buku perjalanan hidupnya dan sebagai seorang Kristian, tentu ada diceritakan peranan Tuhan dan agama dalam hidupnya. Jangan senang-senang menuduh (ia cubaan) memurtadkan orang Islam,” katanya ketika dihubungi FMT.
Begitulah sebuah buku yang terkandung di dalamnya perkara berkaitan Kristian mampu mengundang kebimbangan kepada seorang ahli akademik dan penyokongnya, di saat ribuan buku agama Islam dijual secara bebas di pasaran.
Tidak lama sebelum itu, kehadiran pendakwah kontroversi Zakir Naik mengundang rasa tidak puas hati, terutama oleh penganut Hindu. Beliau dikatakan menyalah tafsir, malah menghina, agama itu.
Hujah paling dominan oleh pihak yang menyokong kehadiran Zakir berkata beliau juga memiliki hak kebebasan bersuara, dan isi ceramahnya termasuk dalam kategori “perbandingan agama”.
Perlembagaan Malaysia
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan”, manakala Perkara 11 (4) menyatakan agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
Peruntukan ini kerap menjadi justifikasi setiap kali tercetus isu berkait hubungan Islam dan bukan Islam.
“Nampaknya pada satu sisi ada kebebasan (dalam beragama), tetapi dengan caveat (sekatan),” kata Mujahid.
Peguam Syahredzan Johan berkata, peruntukan itu menunjukkan orang bukan Islam juga berhak meluahkan tentang agama mereka.
“Apa yang disekat adalah penyebaran. Jika ekspresi itu tiada elemen penyebaran, ia tidak wajar disekat,” katanya.
Namun sejauh mana Perkara 3 dan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itu diterjemahkan secara benar dan kontekstual dalam kehidupan beragama di Malaysia hari ini?
Kes Zakir dan Hannah seolah-olah memberi gambaran hanya Islam yang boleh mencampuri urusan agama lain, manakala bukan Islam boleh beramal tetapi hanya secara sendiri-sendiri dan diharamkan bercakap tentangnya.
Bukankah itu menunjukkan dwi-standard terhadap Islam dan agama lain?
Mujahid berkata, perlembagaan sememangnya bersifat “tidak spesifik”, justeru ia harus ditafsirkan mengikut konteks yang sesuai dengan keadaan semasa mengikut kes.
“Perkara 11 (4) itu haruslah ditafsir dengan teliti, berdasarkan kes, dan paling penting, tidak secara melampau (overdoing it),” katanya.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah Katolik, The Herald, tidak tertakluk kepada Perkara 11(4) kerana ia digunakan bukan terhadap umat Islam.
Namun keputusan itu akhirnya diubah dalam proses mahkamah seterusnya.
Dialog
Mujahid beranggapan hubungan antara agama sebaiknya diperbaiki dengan melihat perkara yang lebih utama – mewujudkan persefahaman antara 2 pihak berbeza.
Sebagai tokoh yang banyak terlibat dalam dialog antara agama, beliau menekankan pentingnya untuk rakyat Malaysia pelbagai latar belakang saling memahami.
“Islam sendiri menggalakkan dialog 2 hala. Tetapi dialog ini ada 2 jenis. Pertama, perdebatan seperti yang dilakukan Zakir Naik. Tetapi ia jarang berakhir dengan 2 pihak bertambah harmoni.
“Kedua pula dengan 2 pihak saling memberi penerangan. Ia pertukaran yang tidak bertujuan mencari siapa yang lebih betul, tetapi menambahkan pemahaman (terhadap pegangan yang lain),” katanya.
Dan dalam konteks umat Islam di Malaysia, barangkali kita perlu pergi lebih jauh, iaitu dengan meletakkan diri di tempat penganut agama lain.