Negara anggota setuju teruskan TPP tanpa AS

Negara anggota setuju teruskan TPP tanpa AS

Keputusan negara anggota memastikan hayat TPP, tetapi tanpa komitmen penuh untuk mengerakkan perjanjian serta merta.

tpp-1
HANOI:
Negara anggota Perkongsian Trans Pasifik (TPP) hari ini bersetuju untuk mencari jalan mengerakkan perjanjian perdagangan tanpa Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump menarik diri demi dasar yang mendahulukan negaranya.

Keputusan negara anggota memastikan hayat TPP, tetapi tanpa komitmen penuh untuk menggerakkan perjanjian serta-merta.

Ia dicapai pada perbincangan di sisi mesyuarat negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang membincangkan kegawatan dalam rundingan perdagangan dunia sejak Trump mengakhiri orde lama demi melindungi pekerjaan rakyatnya.

Jepun ke depan dalam memujuk 11 negara TPP mengerakkan perjanjian mereka, yang anggotanya merasakan ia antara jalan untuk membendung China yang semakin dominan.

Negara anggota juga berharap suatu hari nanti akan dapat membawa AS kembali ke perkongsian mereka.

“Sebelas negara menunjukkan perpaduan dan hasrat untuk mengerakkan beberapa perkiraan yang perlu untuk melaksanakan perjanjian ini,” kata Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay kepada Reuters di sini.

Antara cabaran terbesar adalah mengekalkan Vietnam dan Malaysia, yang menandatangani perjanjian TPP dan berjanji akan melaksanakan reformasi besar-besaran dengan tujuan untuk memperoleh akses lebih baik ke pasaran AS. Kedua-dua negara kini mahu merundingkan semula beberapa perkara.

Pegawai kerajaan dari negara TPP akan kembali bertemu di Jepun pada Julai ini dan akan membawa cadangan masing-masing pada November, kata MCClay.

Kenyataan daripada kumpulan tersebut berkata mereka mahu menangani “kebimbangan mengenai perlindungan” dan mengekalkan pasaran terbuka.

Kebimbangan mengenai perlindungan semakin meningkat sejak Trump dan pertemuan di Hanoi tidak meredakan kebimbangan itu.

Wakil perdagangan AS Robert Lighthizer pernah mengadakan mesyuarat 1-lawan-1 dengan rakan dagangan utama, mencerminkan penekanan Trump ke atas perjanjian perdagangan 2 hala yang menurut beliau akan lebih menguntungkan AS.

China, yang meletakkan dirinya sebagai jaguh perdagangan bebas apabila AS berundur, mendesak suatu perjanjian perdagangan bebas meliputi majoriti ekonomi di Asia. Perjanjian perdagangan Asia yang diinginkan Beijing itu dipanggil Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Perjanjian perdagangan itu hanya membabitkan negara Asia, tanpa AS. Ia tidak selengkap perjanjian TPP dan tidak memuatkan perlindungan kuat untuk harta intelek, hak buruh dan alam sekitar.

Dalam 1 lagi tanda persekitaran yang sudah berubah, para pegawai berkata AS menentang anggota Apec lain mengenai kandungan suatu kenyataan yang akan menyusuli mesyuarat hari ini.

Salinan suntingan pada draf kenyataan yang dilihat Reuters menunjukkan AS mahu mengeluarkan sebarang rujukan kepada “mengesahkan komitmen kami untuk mencapai perjanjian bebas dan terbuka” dan manfaat globalisasi.

Ia mahu menambah perdagangan dan pelaburan bebas hanya boleh dicapai melalui penyingkiran halangan dan langkah lain yang memutar perdagangan serta menambah perkataan “adil” dalam berdagang.

Pergelutan itu sepertimana yang dilihat dalam mesyuarat pemimpin kewangan Kumpulan 20 (G20) dan Kumpulan 7 (G7), apabila kenyataan dilunakkan supaya ia muat dengan agenda baharu AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.