‘Islam sang penguasa’ rumitkan pemahaman Islam

‘Islam sang penguasa’ rumitkan pemahaman Islam

Persaingan 'siapa lebih Islam' antara Umno dan PAS antara faktor menjadikan agama terbentuk di luar masyarakat, sebuah forum diberitahu.

Islamisasi
KUALA LUMPUR:
Dasar “Islamisasi” era 1980-an mengubah pemahaman Islam di kalangan rakyat Malaysia, tetapi malangnya ia bukanlah perubahan positif, sebuah forum yang menyorot perkembangan Islam semasa diberitahu hari ini.

Bagi pengasas bersama kumpulan Sisters in Islam (SIS) Zainah Anwar, dengan mencampur adukkan politik, pemahaman Islam kini lebih sempit kerana perlu melalui tapisan pihak berkuasa agama.

“Apa yang saya belajar (dulu) adalah tentang Islam yang indah dan Tuhan yang penuh kasih sayang. Tiada kafir mengkafir atau (penumpuan kepada) ‘negara Islam’,” katanya kepada FMT selepas bercakap di forum “Perkembangan Islam di Malaysia: Dari Era Sanggul ke Era Hijab” hari ini.

Turut sama berucap pada forum itu ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Faizal Musa; penulis dan aktivis Tan Beng Hui dan penganalisis ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Sebelum itu, Zainah dalam ucapannya menceritakan pengalamannya sebagai pelajar sekolah agama selama 5 tahun, dan berkata ia berbeza dengan pendekatan Islam masa kini.

“Lihat pula keadaan pada hari ini – Islam yang keras dan marah,” katanya sambil merujuk rang undang-undang (RUU) dari PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, untuk meningkatkan hukuman terhadap pesalah syariah.

“Ia berkaitan hukuman sahaja. Di manakah keindahan dalam Islam?” soalnya.

Bagi Zainah, perubahan yang berlaku berpunca daripada persaingan antara Umno dan PAS bagi “menunjukkan siapa lebih Islam” dalam merebut sokongan umat Islam.

Era 1980-an menyaksikan kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar “Penerapan Nilai-nilai Islam”, dilihat sebagai usaha meneutralkan retorik “Negara Islam” oleh PAS. Ia ketika dunia Islam termasuk Malaysia menerima tempias Revolusi Islam Iran pada 1979.

Definasi Islam

Zainah berkata Islam di Malaysia kini tidak lagi berkembang melalui masyarakat di bawah, sebaliknya didefinasi Umno dan PAS untuk kepentingan politik masing-masing.

“Tradisi Islam terdahulu ada konsep perbezaan pandangan dan bagaimana memilih pandangan yang terbaik daripadanya untuk kebaikan komuniti. Kini ia dilupakan kerana idealogi…nak memperbodohkan rakyat untuk terus menyokong mereka,” katanya.

Berbeza dengan perkembangan Islam di Indonesia, Zainah berkata ia masih berakar dengan masyarakat berbanding ketetapan penguasa.

“Di Indonesia, Islam yang terbentuk sangat berakar dengan masyarakat.

“Misalnya ‘pesantren’ (sekolah agama tradisional) adalah sebahagian daripada komuniti (justeru memahami masyarakat). Ia bukan Islam dalam bentuk idealogi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.