Kanak-kanak Tok Bali belajar kuasai bahasa Inggeris

Kanak-kanak Tok Bali belajar kuasai bahasa Inggeris

Projek Celik Huruf Tok Bali yang dilancarkan pada 17 Mei lalu itu bertujuan memupuk minat membaca dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar dari 3 sekolah di kawasan terbabit.

BritishCouncil121
PETALING JAYA:
Hess Exploration & Production Malaysia BV bersama British Council dan kerajaan Kelantan bekerjasama untuk menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak di Tok Bali.

Projek Celik Huruf Tok Bali yang dilancarkan pada 17 Mei lalu itu bertujuan memupuk minat membaca dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar dari 3 sekolah di kawasan terbabit.

Pada majlis pelancaran itu, penganjur mengadakan aktiviti interaktif dan permainan berkaitan bahasa untuk menunjukkan kepada kanak-kanak yang membaca boleh menjadi perkara menyeronokkan. Ibu bapa pula perlu berperanan menggalakkan anak lebih banyak membaca.

Penglibatan ibu bapa adalah elemen asas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua bahasa Inggeris dalam Sistem Pendidikan di British Council, Keith O’Hare berkata, membaca adalah penting kerana ia berpotensi mengubah kehidupan kanak-kanak.

“Kami mahu kanak-kanak mempunyai tabiat membaca buku dan kami menggalakkan ibu bapa menyokong anak mereka membaca di rumah kerana ia berpotensi mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hubungan Luar dan Komunikasi Hess, Ida Abdul Rashid berkata, bahasa Inggeris ialah bahasa global dan kemahiran penting di tempat kerja moden.

BritishCouncil1

Bagaimanapun, katanya, ramai pelajar di Kelantan tidak mempunyai akses untuk belajar bahasa Inggeris atau melihat kemahiran itu sebagai perkara penting yang perlu dipelajari.

Projek itu terdiri daripada 3 bahagian, termasuk melatih guru di 3 sekolah itu dengan kaedah pengajaran, membekalkan buku cerita berwarna-warni dari United Kingdom (UK) untuk keseronokan kanak-kanak membaca dan mengadakan satu siri program komuniti.

Ketua Penolong Pengarah (Bahasa Inggeris) Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd Pathiuddin Mat Zain yang akan memainkan peranan utama dalam projek itu berkata, projek berkenaan penting kerana ia secara langsung menyokong Program Imersif Tinggi (HIP) oleh Kementerian Pendidikan yang mendedahkan pelajar kepada persekitaran berbahasa Inggeris untuk membolehkan mereka mempelajari bahasa itu secara mendalam.

Projek ini akan berakhir hujung tahun ini.

Hess ialah syarikat tenaga bebas global terkemuka, manakala British Council adalah badan amal Royal Charter yang ditubuhkan untuk dijadikan organisasi antarabangsa UK bagi peluang pendidikan dan hubungan budaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.