
NGO dikenali sebagai Kempen Pelangi itu kesal dengan keputusan pihak pengurusan Universiti Taylor membatalkan acara bagi meraikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Program bertemakan ‘Keberanian dalam menghadapi kesukaran’ itu dianjurkan sekumpulan pelajar Universiti Taylor yang simpati dengan ketidakadilan sosial dihadapi komuniti LGBT.
“Mereka mengambil inisiatif murni itu dengan menganjurkan program ini bagi meningkatkan kesedaran dan pembabitan masyarakat sekeliling,” kata NGO itu sambil mengkritik universiti itu tidak berpendirian tegas terhadap autonomi pelajar dan kakitangannya.
Semalam, sebuah kempen kesedaran awam LGBT termasuk 1 perarakan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Taylor mulai 6 hingga 8 Jun ini dibatalkan.
Kempen Pelangi ditubuhkan pada Ogos 2016 bertujuan menyokong hak LGBT di Malaysia melalui jangkauan dan membawa kesedaran kepada orang ramai serta menggerakkan akar umbi komuniti itu.
Pelangi berkata, program itu adalah peluang untuk pelajar universiti itu menjadi pemangkin perubahan.
“Program itu diadakan untuk memperingati ulang tahun tragedi keganasan Stonewall terhadap golongan LGBT pada Jun 1969.
“Salah satu matlamat acara ini ialah memerangi prasangka dan diskriminasi terhadap golongan LGBT.”
Pelangi turut menekankan cara “negara melakukan penindasan sistemik terhadap ruang dan wacana LGBT, termasuk melalui pengharaman Seksualiti Merdeka”.
“Penindasan demikian bertentangan Artikel 19 dan 20 Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia yang menjamin hak kebebasan berhimpun, bersuara dan meluahkan perasaan untuk semua orang.
“Ruang dan wacana LGBT yang semakin kecil diburukkan lagi oleh tindakan portal sensasi tertentu yang menghasut kebencian dan diskriminasi terhadap komuniti LGBT.”
Walaupun kenyataan itu tidak memberikan maklumat lanjut, namun “portal sensasi” itu dipercayai ialah blog pro-Islam yang membantah penganjuran program sedemikian pada bulan Ramadan.