
Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) yang diketuai Mejar (B) Razali Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pemuda Kampung Lindungan, Mohd Ismawi Ismail berkata, mereka akan meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan sewajarnya, jika Teo gagal berbuat demikian.
“Kementerian kena ambil tindakan tak kira dia siapa. Saya tak kenal siapa David Teo ini…tapi bila biadab, kena ambil tindakan.
“Perdana menteri mewakili semua rakyat Malaysia. Kita tak nak lagi berulang dalam TN50 lain. Satu tindakan perlu diambil ke atas David bagi pengajaran kepada semua orang tak kira bangsa.
“Jangan biadab kepada perdana menteri terutama dalam majlis rasmi. Itu majlis rasmi,” kata mereka di luar pejabat Metrowealth International Group (MIG) milik Teo, hari ini.
Perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung di luar pejabat MIG itu bagaimanapun tidak berlaku kerana hanya 6 orang yang hadir.
Mengulas perkara itu, Razali sebaliknya berkata, pihaknya hanya ingin mengadakan sidang media, tetapi acara itu menjadi tular di media sosial.
Beliau turut meminta Kementerian Pertahanan (Mindef) menarik balik pangkat mejar kehormat yang diberikan kepada ketua pegawai eksekutif MIG itu.
“Saya mejar, saya nak dapat mejar berapa tahun? Bukan senang nak dapat mejar untuk kita jaga imej dan maruah.
“Kalau dia buat macam tu kurang ajar, Mindef (patut) tarik balik mejar kehormat dia dan kita takkan berhenti…akan gesa dan buat tindakan susulan tentang pangkat dia. Macam mana dia boleh dapat,” katanya.
Dialog TN50 bersama Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung malam tadi kecoh selepas pelawak, Sulaiman Yassin yang lebih dikenali sebagai Mat Over menampar Teo di depan perdana menteri.
Insiden itu berlaku selepas Teo meminta pengacara, Datuk Rosyam Nor memberi peluang kepada hadirin di barisan belakang untuk mengajukan soalan kepada Najib.
Mat Over tiba-tiba muncul dan menampar Teo ketika Rosyam membuka ruang kepada penerbit itu untuk tanya Najib.
Seniman: Orang luar henti ‘menyibuk’ isu Mat Over, David Teo