6 pegawai polis Melaka dipanggil SPRM

6 pegawai polis Melaka dipanggil SPRM

Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut kes yang sedang disiasat SPRM itu kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

Abd-Jalil-Hassan
MELAKA: Seramai 6 pegawai polis di negeri ini dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes dijalankan suruhanjaya itu, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut kes yang sedang disiasat SPRM itu kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

Katanya, 3 pegawai polis itu masing-masing daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Jasin dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi semalam, manakala seorang pegawai kanan di IPD Melaka Tengah dan seorang pegawai IPK Melaka dibawa lewat malam semalam.

Seorang lagi pegawai kanan di IPD Jasin hadir sendiri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan juga pada lewat malam semalam, katanya kepada pemberita hari ini.

Dilaporkan hari ini 6 individu, termasuk 3 pegawai polis yang ditahan SPRM di Melaka semalam, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 mulai hari ini sehingga Isnin ini dan perintah reman dikeluarkan Majistret Muhamad Safuan Azhar di Putrajaya.

Jalil berkata, polis Melaka yakin dan amat menghormati profesionalisme ditunjukkan SPRM dalam menyiasat kes tersebut dan sedia bekerjasama rapat dengan suruhanjaya itu dalam usaha memastikan keteguhan integriti pasukan polis di negara ini.

“Polis Melaka bersama Jabatan Integriti pasukan ini sentiasa memastikan integriti Polis Diraja Malaysia setiasa pada tahap tertinggi dan memantau serta membanteras sebarang salah laku anggota polis,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.