Polis tahan Pengasas JJPTR Johnson Lee

Polis tahan Pengasas JJPTR Johnson Lee

Johnson Lee dan 2 lagi orang kanannya ditahan di Petaling Jaya ketika polis mula membekukan semua aset JJPTR yang dikatakan mengutip dana berjumlah RM1.7 bilion.

noor-rashid-jjptr-3
KUALA LUMPUR:
Pengasas skim pelaburan “JJ Poor to Rich” (JJPTR), Johnson Lee ditahan polis hari ini.

Menurut laporan The Star, Lee bersama 2 orang kanannya ditahan di Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu kali terakhir dilihat muncul di khayalak ramai pada 10 Mei lalu, apabila syarikat itu memulangkan dana kepada 100 pelabur.

Lee memberitahu media yang pembayaran itu hanya sebahagian daripada bayaran fasa pertama dan lebih ramai pelabur akan mendapat kembali wang mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang dipetik Sin Chew Daily semalam berkata, polis akan memanggil Lee untuk disoal siasat kerana siasatan menunjukkan syarikat itu melanggar undang-undang negara dengan mengumpul dana daripada orang ramai.

Seorang pegawai penyiasat turut dilaporkan membuat laporan polis berhubung JJPTR semalam.

Pada 12 Mei lalu, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dan Cyber Security menyerbu 8 pejabat JJPTR di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, JJPTR mengutip wang pelaburan sehingga RM1.7 bilion.

Katanya, 15 pekerja termasuk 13 wanita dan 4 pelabur berusia 23 hingga 40 tahun turut ditahan untuk disoal siasat, manakala 7 unit komputer dan komputer riba, mesin mengira wang, televisyen, perakam CCTV, wang tunai berjumlah RM3,300 dan ratusan dokumen disita.

Polis turut memulakan langkah membekukakan akaun JJPTR.

JJPTR mula menjadi perhatian media sejak bulan lalu selepas pengasasnya, Johnson Lee mendakwa dananya dipindahkan “penggodam” mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta). Bagaimanapun, ada yang mendakwa kerugian itu melebihi AS$400 juta (RM1.736 bilion).

Skim pelaburan JJPTR ditubuhkan pada 2015 dengan menjanjikan pulangan 20% sebulan. Sebuah lagi skim baharu diumumkan awal bulan ini yang menjanjikan pulangan setinggi 35% sebulan.

Pelabur mula menyerbu pejabat JJPTR apabila pulangan 20% tidak dimasukkan ke dalam akaun mereka bulan lalu.

Pada 27 April lalu, JJPTR berjanji akan membayar balik semua dana pelaburan yang dikumpul daripada 31,000 ahlinya.

8 lokasi diserbu, 15 pekerja JJPTR dan 4 pelabur ditahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.