
Anak kepada seorang guru besar, Dr Mahathir menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakannya yang “nakai” mencuri masa bermain di sawah padi dalam perjalanan pulang dari kelas mengaji, walaupun sudah diberi amaran ia merbahaya.
“Tapi saya dan kawan-kawan cukup takut kalau nampak guru mengaji atau cikgu sekolah lalu kerana kami tau ‘akibatnya’,” kata perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat itu dalam muat naik di Facebook hari ini.
“Apatah lagi kalau guru-guru saya ni melaporkan pada bapak saya yang merupakan seorang pengetua lagilah saya akan didisiplinkan. Pernah? Semestinya ya!”
https://www.facebook.com/TunDrMahathir/posts/10154669951653652:0
Dr Mahathir, 91, berkata guru adalah profesion yang dipandang tinggi di zamannya.
“Di kampung-kampung, gurulah orang yang paling bijak pada masa dulu, mereka amat dihormati sehinggakan segenap peranan dalam membangunkan masyarakat di kampung-kampung dimainkan oleh golongan pendidik,” katanya.
Menurutnya, guru pada ketika itu memainkan peranan besar dalam politik.
“Kerana itu masyarakat benar-benar dibangunkan dengan asas atau nilai yang kukuh!
“Bukan macam sekarang, politik dikuasai mereka yang gilakan untuk berniaga dan mencari keuntungan peribadi, akhirnya tiada nilai lagi kerana gurunya adalah wang!” kata pengerusi PPBM itu, yang berkhidmat sebagai doktor perubatan sebelum terlibat dalam politik.