8 lokasi diserbu, 15 pekerja JJPTR dan 4 pelabur ditahan

8 lokasi diserbu, 15 pekerja JJPTR dan 4 pelabur ditahan

Ketua polis negara berkata, dokumen berkaitan turut dirampas dalam serbuan itu.

khalid-abu-bakar_jjptr_600
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa hari ini menyerbu 8 lokasi yang dijadikan pejabat skim pelaburan “JJ Poor to Rich” (JJPTR) di sekitar Pulau Pinang, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Syabas JSJK @PDRMasia, BNM, LHDN, NRRET , SSM serbu 8 lokasi Skim JJPTR di Pulau Pinang dan tahan 19 orang pekerja dan pelabur dan rampas dokumen. #GoPDRMGo,” tulisnya di Twitternya.

JJPTR mula menjadi perhatian media sejak bulan lalu selepas pengasasnya, Johnson Lee mendakwa dananya dipindahkan “penggodam” mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pembekuan beberapa akaun milik JJPTR juga sedang dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Beliau berkata, serbuan itu turut membabitkan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Cyber Security di 8 lokasi berbeza di negeri itu yang terdiri daripada pejabat dan unit kediaman dijadikan pejabat operasi sindiket itu.

Katanya, seramai 15 pekerja dan 4 pelabur berusia 23 hingga 40 tahun ditahan untuk proses dokumentasi dan merakamkan percakapan mereka, dengan 7 unit komputer dan komputer riba, mesin mengira wang, televisyen, perakam CCTV, wang tunai berjumlah RM3,300 dan ratusan dokumen disita.

Acryl Sani berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berdasarkan 2 laporan polis yang diterima sehingga kini berhubung skim pelaburan JJPTR yang didakwa berasaskan perniagaan forex.

“Semua pelabur dijanjikan keuntungan 20% sebulan daripada jumlah pelaburan yang dibuat. Dipercayai sehingga kini, pihak sindiket telah mengutip wang pelaburan sehingga RM1.7 bilion.”

Acryl Sani mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan seperti itu.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, segeralah membuat semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut, sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kegiatan penipuan.”

Pelabur mula menyerbu pejabat JJPTR apabila pulangan 20% tidak dimasukkan ke dalam akaun mereka bulan lalu.

Pada 27 April lalu, JJPTR berjanji akan membayar balik semua dana pelaburan yang dikumpul daripada 31,000 ahlinya.

Lee dilaporkan berkata, pembayaran itu boleh dilakukan melalui suntikan modal daripada kumpulan baru pelabur asing.

Katanya, bayaran itu juga akan dibuat kepada mereka yang baru menyertai skim pelaburan itu.

Pihak berkuasa serbu pejabat JJPTR di Pulau Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.