
Beliau berkata sikap itu dapat dilihat apabila ada pihak cuba mempolemikkan usaha kerajaan dalam melaksanakan tuntutan agama.
“Ia dijadikan polemik…kerana mereka ada keberanian terhadap pertikaian politik di kalangan kita, yang tidak sama fikrah siyasi (pemikiran politik), kerana (ada di kalangan kita) mengutamakan kepentingan siyasi,” katanya tanpa menyebut mana-mana pihak.
“Ada yang sanggup ketepikan prinsip agama dan hukum qat’i (mutlak) demi kepentingan politik. Saya tidak faham orang Islam jenis ini,” katanya semasa merasmikan penutupan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 – “Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Beliau berkata, perbezaan pandangan perlu diraikan tetapi apabila melibatkan soal bersifat “qat’i”, ia tidak perlu.
Justeru, beliau berpesan agar pihak yang komited memperjuangkan Islam tidak khuatir dengan penentangan itu kerana “Tuhan menjaga mereka yang menjaga agamaNya”.
Zahid tidak menyebut secara jelas pihak atau perkara yang dimaksudkan, tetapi antara hal yang menjadi polemik hangat di Malaysia sebelum ini adalah pembentangan usul peribadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang ditentang pembangkang.
Zahid sebelum ini dilihat antara pemimpin kerajaan yang menyokong usul itu dan Mac lalu memberi jaminan kerajaan sendiri akan membentangkan usul tersebut.
Ikrar setia kepada Najib
Dalam pada itu, beliau berikrar sentiasa menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya sering menerima tohmahan dan fitnah.
“Saya menghayati ucapan perdana menteri semalam dan saya tidak akan meninggalkan beliau saat menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau merujuk ucapan Najib dalam program yang sama semalam berkata, konsep wala’ (kesetiaan) dan wasatiyyah amat penting bagi kemajuan negara dan sebarang kritikan terhadapnya tidak wajar “disulami fitnah, cacian atau tohmahan jahat”.
“Jika perdana menteri teruk difitnah, sebagai orang nombor 2, saya juga terkena tempiasnya. Inilah suasana mutakhir ini,” kata Zahid.
Sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan wujudnya pergeseran antara Zahid dan Najib, terutama dengan pelantikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan bagi mengekang Zahid.
Namun dakwaan itu dinafikan ketiga-tiga mereka.