
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 2 warga Turki iaitu Turgay Karaman dan Ihsan Aslan, ditangkap semalam atas kaitan dengan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.
Katanya, mereka ditangkap di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkait aktiviti keganasan.
Sebelum ini, FMT melaporkan 2 warga Turki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen, kumpulan yang dituduh dalang rampasan kuasa yang gagal tahun lalu.
Sahabat dan ahli keluarga mendakwa mereka dicekup semalam oleh lelaki tidak dikenali.
Karaman merupakan pengetua Time International School di Ipoh, manakala Aslan anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Turki.
Rakaman CCTV di tempat letak kereta menunjukkan Karaman dibawa beberapa lelaki.
Menurut salinan laporan polis oleh kenalan Karaman, Suheyl Ozcelik, yang dibaca FMT, 2 buah kereta yang digunakan oleh penculik itu ialah sebuah Nissan Almera dan Proton Gen-2.
Menurutnya, beberapa lelaki mencekup Karaman di tempat letak kereta Wisma E&C di Damansara, pada 4.30 petang semalam. Menurutnya, Karaman berada di situ untuk menghadiri sesi taklimat berhubung peranannya sebagai saksi dalam perbicaraan sebuah kes jenayah di Mahkamah Majistret hari ini.
Kebimbangan terhadap nasib mereka ialah susulan kejadian sama yang menimpa beberapa warga Turki di Malaysia tahun lalu.
Pada Januari, akhbar The Huffington Post melaporkan pegawai perisikan Turki menculik 3 rakyat Turki di Malaysia pada Oktober tahun lalu kerana didakwa terlibat dalam pergerakan Gulen, kumpulan yang menjadi tumpuan tindakan besar-besaran kerajaan pimpinan Erdogan, yang terselamat daripada cubaan rampas kuasa pada Julai 2016.
Mereka yang diculik itu kemudian dibawa pulang ke Turki.
Kerajaan Turki sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan Malaysia menutup sekolah yang mempunyai hubungan dengan pergerakan Gulen.
Pergerakan Gulen diasaskan Fethullah Gulen, bekas imam dan penulis yang yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.