Najib puji guru jual rumah biaya 2 anak bertanding catur di Romania

Najib puji guru jual rumah biaya 2 anak bertanding catur di Romania

Perdana menteri berkata, pengorbanan Salihin Ahmad dan ibu bapa yang menghantar anak ke Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania akan dihargai melalui kementerian berkaitan.

najib-salihin-catur
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menemui keluarga Salihin Ahmad serta menyuarakan penghargaan kerajaan dan rakyat atas pengorbanannya sehingga sanggup menjual rumah bagi membiayai penyertaan 2 anaknya ke pertandingan catur di luar negara.

Dalam pertemuan singkat selepas menghadiri majlis inisiatif Negaraku yang dijayakan Malaysia Airlines di Perdana Putra hari ini, Najib berkata, Malaysia berbangga dengan pencapaian Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, yang masing-masing bertanding dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah 7 tahun pada Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania, bermula 22 April sehingga 1 Mei lalu.

Salihin yang merupakan guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Klang, dilaporkan terpaksa menjual rumah ke-2 di Segamat, Johor, pada harga RM65,000 untuk membawa Afiqah Zahra dan anak sulungnya, Nur Anisah, ke pertandingan berkenaan kerana tiada penajaan.

Perdana menteri berkata, pengorbanan Salihin dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pertandingan itu akan dihargai melalui kementerian berkaitan.

“Ini merupakan satu komitmen dan kesungguhan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Kita akan pastikan bakat seumpama ini dipupuk dan disokong sebaiknya, kerana biarpun individu, ia membawa nama Malaysia.

“Tahniah Cikgu Salihin dan semua peserta Malaysia di Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017,” kata Najib.

Salihin, 45, yang juga jurulatih catur berkata, 2 anaknya itu berlatih minimum 6 jam seminggu sesama mereka dan bersama kawan serta di hadapan komputer untuk menyertai pertandingan antarabangsa yang mempunyai 9 pusingan itu.

“Afiqah hampir menjadi johan, tetapi di pusingan 8 dan 9, dia jatuh seri dan akibat gerakan yang dilakukan kurang menjadi, dia jatuh kepada kedudukan 5 dunia bagi kategori perempuan bawah 7 tahun.
“Dua pusingan terakhir amat penting dan saya memang memberi tekanan kepadanya untuk menang. Dia cuba sedaya upaya. Selepas pusingan ke-8, dia masuk bilik dan meraung-raung kerana amat kecewa dengan gerakan yang dilakukan kurang menjadi pada pusingan itu.

“Tetapi, saya melihat Afiqah mempunyai potensi besar kerana tahap pemikiran dalam permainan ini adalah jauh lebih matang,” katanya selepas pertemuan dengan Najib.

Salihin berkata, Nur Anisah yang pernah merangkul gelaran “Woman Candidate Master” di Pertandingan Catur Asia Timur di Korea Selatan, turut seri dengan rakan sepasukan, Vivien Ngieng dalam kategori perempuan bawah 17 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana sudi menjemput kami. Perdana menteri memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan usaha kami menempa lebih banyak lagi kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia.”

Nur Anisah berkata, pengorbanan ibu bapanya amat besar dan ingin berjaya dalam semua pertandingan catur yang bakal disertai dan mengharumkan nama keluarga serta negara di persada antarabangsa.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.