
Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berkata, isu itu turut dilaporkan media antarabangsa seperti BBC dan ia mencemarkan imej Malaysia.
“Ia (pakaian gadis itu) seperti baju pinafor sekolah. Berita itu turut dilaporkan BBC dan Washington Post. Ia memberi kesan sangat negatif kepada negara kita.
“Catur ialah pertarungan minda, bukannya melihat pakaian masing-masing,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Kisah gadis yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 itu mendapat liputan meluas media selepas ketua pengadil memaklumkan pakaian sehingga paras lutut itu “menggoda” dan melanggar peraturan kejohanan.
Peraturan itu antara lain mengkehendaki peserta menampilkan “perwatakan dihormati orang”.
Pengarah kejohanan itu, Sophian A Yusuf semalam menafikan beliau pernah berjumpa gadis itu dan menegur pakaiannya “menggoda”.
Beliau juga bertegas gadis itu tidak pernah “diancam akan hilang kelayakan”, sebaliknya beliau menarik diri secara sukarela selepas ibunya tidak mendengar nasihat pengadil untuk menukar pakaian anaknya.
Susulan kejadian itu, Lim berkata, Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) memberi jaminan kepada beliau yang mereka tiada kod berpakaian ketat untuk pemain catur.
“Kami hanya menasihatkan semua pemain berpakaian kemas dewan permainan. Kami tidak menumpukan banyak perhatian terhadap kod pakaian,” kata Presiden PCA, Lee Ewe Ghee.
“Bagi kami, selagi mereka tidak memakai selipar, kami okey.”
Lee berkata, kod berpakaian ketat biasanya diguna pakai kejohanan catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
“Seingat saya, acara MSSM tidak membenarkan peserta memakai seluar pendek,” katanya.
Beliau berkata, isu kod pakaian hanya pernah bangkit sekali dalam sukan itu ketika Kejohanan Catur Wanita Dunia yang berlangsung di Iran, Februari lalu.
Katanya, peserta kejohanan dunia itu dikehendaki memakai tudung, tetap ia dibantah sesetengah peserta.
“Juara wanita Amerika Syarikat, Nazi Paikidze tidak menyertai kejohanan itu disebabkan arahan bertudung.
“Bagi kami, terpulang kepada peserta untuk menerima peraturan itu.”
PCA, sebuah pertubuhan tidak berkeuntungan, menganjurkan kejohanan catur antarabangsa di Pulau Pinang sejak 30 tahun lalu. Maklumat lanjut boleh didapati di www.penangchess.com.
Ibu peserta itu mendakwa ketua pengadil mengganggu permainan bagi membantah pakaian anaknya “tidak sesuai”, walaupun ia tidak “menggiurkan”.
Wanita itu turut mendakwa anaknya terpaksa menarik diri kerana mereka hanya dimaklumkan perkara itu sekitar 10 malam dan tidak boleh mendapatkan baju menepati kod pakaian kejohanan terbabit menjelang pusingan seterusnya pada jam 9 pagi esok.
Jurulatih gadis itu, Kaushal Khandhar dilaporkan berkata, ketua pengadil memaklumkan pakaian gadis itu tidak sopan dan melanggar kod berpakaian bagi Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Putrajaya pada 14 hingga 16 April lalu.
Kaushal menerusi catatan di Facebook minggu lalu berkata, ketua pengadil itu memohon maaf dan memberitahu peserta terbabit serta ibunya, pengarah kejohanan menganggap pakaian sehingga paras lutut gadis itu “menggoda” dan “satu godaan dari sudut tertentu yang amat jauh”.
Katanya, kejadian itu menyebabkan anak didiknya “terganggu” dan “malu”, ketika ramai netizen mengecam pegawai kejohanan dan menggesa tindakan diambil terhadap mereka dan pihak penganjur.
Pengarah kejohanan catur nafi jumpa peserta, tegur baju ‘menggoda’
Baju ‘menggoda’: Netizen desak pengarah kejohanan catur letak jawatan