
Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua bahagian parti itu bagi memaklumkan keputusan berkenaan.
Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau kekal komited dengan PKR dan akan kembali bertugas secara aktif sebaik sahaja dibebaskan daripada dakwaan ke atasnya.
Pada 21 April lalu, Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.
Pemuda berusia 29 tahun itu dituduh memberi keterangan dan dokumen palsu ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari lepas berhubung banglo mewahnya di Kampung Melayu, Ampang.
SPRM turut menyita banglo Adam bernilai RM1.2 juta yang dibeli secara tunai dan 5 kereta mewahnya. Akaun bank beliau dan isterinya yang mengandungi RM212,000 turut dibekukan.
Adam ditahan SPRM pada 13 April lalu berhubung dakwaan “kekayaan melampau” yang dimilikinya selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendedahkan beliau memiliki sebuah banglo dan beberapa kereta mewah, walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam PKR.
Adam bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dengan berkata, beliau memiliki perniagaan sendiri, namun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut soal itu atas sebab keselamatan.
Dalam kenyataannya hari ini, Adam berkata, tuduhan terhadapnya tidak berasas.
“Saya telah menyatakan di mahkamah saya tidak bersalah dan akan membawa segala hujah dan melawan pertuduhan ini sehingga ke akhirnya.”
Beliau bagaimanapun amat kecewa dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencadangkan beliau bersalah terhadap dakwaan itu.
“Beliau seakan tidak menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah.
“Seharusnya beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana pertuduhan terhadap saya belum selesai di mahkamah, (ini) jelas menunjukkan seolah perkara yang dilakukan itu didorong agenda tidak wajar.”
Pada 25 April lalu, Rafizi dilaporkan berkata, PKR tidak boleh memandang mudah dengan dakwaan ke atas Adam kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti dan boleh dijadikan modal politik oleh Umno dan PAS.
“Kalau tidak ditangani dengan baik, dia akan ada kesan kepada parti. Kalau tidak ambil tindakan, orang akan kata kesalahan orang lain kami bising tapi bila kena pada parti sendiri kami diam,” kata Rafizi.
Pemuda PKR usul gantung jawatan Adam Rosly selepas tuduhan bohong