
Laman Turkey Purge melaporkan Turgay Karaman, pengetua Time International School di Ipoh, dan ahli perniagaan Ihsan Aslan, sebahagian daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Turki, dicekup semalam di Kuala Lumpur.
Rakaman CCTV di tempat letak kereta menunjukkan Karaman dibawa beberapa lelaki.
Menurut salinan laporan polis oleh kenalan Karaman, Suheyl Ozcelik, yang dibaca FMT, 2 buah kereta yang digunakan oleh penculik itu ialah sebuah Nissan Almera dan Proton Gen-2.
Ozcelik dalam laporannya turut memberikan nombor pendaftaran kereta tersebut.
Menurutnya, beberapa lelaki mencekup Karaman di tempat letak kereta Wisma E&C di Damansara, pada 4.30 petang semalam. Menurutnya, Karaman berada di situ untuk menghadiri sesi taklimat berhubung peranannya sebagai saksi dalam perbicaraan sebuah kes jenayah di Mahkamah Majistret hari ini.
Isteri Karaman, Ayşe Karaman, dalam rayuannya menerusi video dimuat naik di YouTube, berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membantu mencari suaminya.
“Saya menyeru kerajaan Malaysia membantu kerana dia seorang yang baik dan tidak pernah mengasari sesiapa,” katanya.
Laporan polis berhubung kehilangan kedua-dua warga Turki itu sudah dibuat oleh kenalan mereka.
Kebimbangan terhadap nasib mereka ialah susulan kejadian sama yang menimpa beberapa warga Turki di Malaysia tahun lalu.
Pada Januari, akhbar The Huffington Post melaporkan pegawai perisikan Turki menculik 3 rakyat Turki di Malaysia pada Oktober tahun lalu kerana didakwa terlibat dalam pergerakan Gulen, kumpulan yang menjadi tumpuan tindakan besar-besaran kerajaan pimpinan Erdogan, yang terselamat daripada cubaan rampas kuasa pada Julai 2016.
Mereka yang diculik itu kemudian dibawa pulang ke Turki.
Kerajaan Turki sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan Malaysia menutup sekolah yang mempunyai hubungan dengan pergerakan Gulen.
Pergerakan Gulen diasaskan Fethullah Gulen, bekas imam dan penulis yang yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Insiden penculikan terbaru ini susulan kehilangan beberapa aktivis tempatan, termasuk Pastor Raymond Koh yang dilihat diculik oleh beberapa lelaki bertopeng di Petaling Jaya, Februari lalu.