
Beliau mendakwa kes gadis itu dikendalikan pengadil kejohanan dan beliau hanya tahu mengenai perkara itu selepas kejohanan tamat pada 16 April lalu.
Katanya, beliau sudah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung isu itu.
“Saya difitnah. Sepanjang masa itu, saya tidak pernah keluarkan perkataan ‘menggoda’ sepanjang kejohanan itu. Saya tak pernah jumpa peserta itu.
“Saya tidak tahu cara dia berpakaian sepanjang kejohanan itu sehingga seseorang menulisnya di media sosial,” katanya dipetik Malay Mail Online pada sidang media hari ini.
Sophian berkata, seorang pembantu wanita bertindak menasihatkan peserta itu selepas pengadil mendapati pakaiannya tidak sesuai pada pusingan pertama kejohanan.
Beliau mendakwa gadis dan ibunya tidak bertindak balas terhadap nasihat itu menyebabkan amaran terpaksa dikeluarkan pengadil selepas pusingan ke-2 bermula.
Katanya, pengadil terbabit kemudiannya melaporkan perkara itu kepada ketua pengadil kerana peserta berkenaan tidak menukar pakaiannya.
Bagaimanapun, Sophian bertegas gadis itu tidak pernah “diancam akan hilang kelayakan”, sebaliknya beliau menarik diri secara sukarela.
Kejohanan itu tidak mempunyai kod pakaian tertentu, tetapi ia mengguna pakai Undang-undang Catur yang dilaksanakan Persekutuan Catur Dunia, di mana peserta dikehendaki menampilkan “perwatakan dihormati orang”.
Sebelum ini, ibu peserta terbabit mendakwa ketua pengadil mengganggu permainan bagi membantah pakaian anaknya “tidak sesuai”, walaupun ia tidak “menggiurkan”.
Wanita itu turut mendakwa anaknya terpaksa menarik diri kerana mereka hanya dimaklumkan perkara itu sekitar 10 malam dan tidak boleh mendapatkan baju menepati kod berpakaian kejohanan terbabit menjelang pusingan seterusnya pada jam 9 pagi esok.
Jurulatih gadis itu, Kaushal Khandhar dilaporkan berkata, ketua pengadil memaklumkan pakaian gadis itu tidak sopan dan melanggar kod berpakaian bagi Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Putrajaya pada 14 hingga 16 April lalu.
Kaushal menerusi catatan di Facebook minggu lalu berkata, ketua pengadil itu memohon maaf dan memberitahu peserta terbabit serta ibunya, pengarah kejohanan menganggap pakaian sehingga paras lutut gadis itu “menggoda” dan “satu godaan dari sudut tertentu yang amat jauh”.
Katanya, kejadian itu menyebabkan anak didiknya “terganggu” dan “malu”, ketika ramai netizen mengecam pegawai kejohanan dan menggesa tindakan diambil terhadap mereka dan pihak penganjur.
Susulan itu, netizen menyebarkan gambar didakwa ialah Sophian yang juga penolong setiausaha Persekutuan Catur Malaysia (MCF) di media sosial dan mendesaknya meletak jawatan.
Gadis itu yang merupakan juara bagi daerah Kuala Lumpur, kemudiannya menarik diri daripada kejohanan itu kerana gagal mendapatkan pakaian “sesuai” untuk dipakai pada hari pertandingan berikutnya yang bermula 9 pagi.
Gadis itu dan ibunya dikatakan menginap di sebuah hotel di Putrajaya sempena kejohanan itu.
Baju ‘menggoda’: Netizen desak pengarah kejohanan catur letak jawatan