PKR tetap hadir Muktamar PAS, selepas usul putus hubungan

PKR tetap hadir Muktamar PAS, selepas usul putus hubungan

PKR menghantar Naib Presidennya, Dr Shaharuddin Badaruddin bagi memenuhi jemputan PAS.

pkr-muktamar
ALOR SETAR: Di sebalik desakan Dewan Ulama dan Pemuda supaya PAS menamatkan kerjasama dengan PKR, wakil parti itu tetap hadir ke Muktamar PAS ke-63 yang bermula hari ini.

PKR menghantar Naib Presidennya, Dr Shaharuddin Badaruddin bagi memenuhi jemputan PAS.

Kehadiran pemimpin PKR ke muktamar kali ini menjadi tanda tanya, selepas usul memutuskan hubungan dengan PKR yang diluluskan secara berasingan oleh perwakilan di Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS tanpa bahas, kelmarin dan semalam.

Usul ini akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Sekiranya badan tertinggi PAS meluluskan usul tersebut, ia mungkin menyaksikan pertembungan PAS dengan Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14, terutamanya di Selangor yang kerajaan negerinya turut dianggotai wakil PAS sejak penggal lepas.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.

Saifuddin dilaporkan berkata, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.

Ketua Pemuda PAS yang baharu, Muhammad Khalil Abdul Hadi bagaimanapun menolak gesaan itu dengan berkata, parti Islam itu tidak perlu mengikut telunjuk pemimpin PKR kerana kuasa melantik exco Selangor bukan terletak kepada parti berkenaan.

Selain wakil PKR, turut dijemput ke perasmian Muktamar PAS hari ini ialah Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Turut hadir ialah Datin Tuan Sabariah Tuan Isyak yang merupakan isteri bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Barisan pemimpin dan perwakilan PAS menyambut kedatangan wakil pemimpin parti politik lain, termasuk PKR ke muktamar kali ini dengan hati terbuka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi amanat presidennya malam tadi mengingatkan perwakilan supaya tidak membangkitkan isu sensitif sehingga boleh merugikan parti pada muktamar tahun ini.

“Perkara utama yang disebut presiden ialah muktamar ini perlu dijadikan medan merapatkan hubungan di kalangan kita sendiri, jangan jadikan muktamar ini sebagai medan untuk berpecah.

“Amanat khas presiden boleh dianggap satu harapan atau mungkin amaran supaya perbahasan perwakilan tidak menimbulkan perkara yang merugikan PAS, terutamanya menjelang PRU14 ini dengan membawa perkara remeh-temeh,” kata Takiyuddin.

 

Pemuda PAS lulus usul ‘cerai talak 3’ dengan PKR

Jika putus, sila berundur dari Selangor, PKR beritahu PAS

Jangan jadikan muktamar medan pecah belahkan PAS, pesan Hadi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.