Jangan jadikan muktamar medan pecah belahkan PAS, pesan Hadi

Jangan jadikan muktamar medan pecah belahkan PAS, pesan Hadi

Sebaliknya, presiden PAS itu mahu muktamar tahun ini dijadikan medan merapatkan hubungan di kalangan ahli parti berkenaan.

Takiyuddin-Hassan_abdul-hadi_600
ALOR SETAR:
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan perwakilan yang menghadiri Muktamar PAS bermula hari ini tidak membangkitkan isu sensitif sehingga boleh merugikan parti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, menerusi amanat presidennya, Hadi turut mengingatkan perwakilan tidak menjadikan muktamar sebagai medan perpecahan.

“Perkara utama yang disebut presiden ialah muktamar ini perlu dijadikan medan merapatkan hubungan di kalangan kita sendiri, jangan jadikan muktamar ini sebagai medan untuk berpecah.

“Amanat khas presiden malam ini boleh dianggap sebagai satu harapan atau mungkin amaran supaya perbahasan oleh perwakilan tidak menimbulkan perkara yang merugikan PAS, terutamanya menjelang PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ini dengan membawa perkara remeh-temeh,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Presiden sempena muktamar parti itu di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, setiap amanat yang disampaikan Hadi perlu dipatuhi dan tidak perlu dipersoalkan demi kebaikan parti serta ahlinya.

“Semua arahan dari PAS pusat yang disampaikan (presiden) perlu dipatuhi, tidak boleh langgar. Apa yang diarahkan juga merupakan perkara yang telah dibincangkan (pemimpin PAS Pusat) sama ada ia satu strategi atau arahan, ia perlu dipatuhi,” katanya.

Mengenai tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR, beliau berkata, Hadi hanya membuat penerangan secara umum dan tidak membincangkan perkara itu secara spesifik.

Ia susulan usul memutuskan hubungan dengan PKR yang diluluskan secara berasingan oleh perwakilan di Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS tanpa bahas, kelmarin dan semalam.

Usul ini akan dibawa ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama yang mempunyai kata putus terakhir.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Hadi mengakui PRU14 paling mencabar dan ia memerlukan usaha lebih keras oleh parti.

“Presiden tekankan PRU14 merupakan pilihan raya yang amat mencabar, bukan sahaja bagi PAS tetapi mencabar untuk semua parti politik,” katanya.

PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan pemimpin parti itu pernah membayangkan akan menyertai PRU14 bersendirian sebagai “blok ketiga”.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin sekali lagi menegaskan PAS ada menjemput PKR menghadiri muktamarnya, tetapi terpulang kepada mereka untuk menghantar pemimpin mana sebagai wakil.

“Pemimpin PKR dijemput dan kita tunggu siapa wakil mereka yang akan hadir. PAS juga menjemput parti lain seperti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia), Ikatan (Parti Ikatan Bangsa Malaysia) serta NGO seperti Perkasa,” katanya.

Muktamar PAS ke-63 akan diadakan hari ini sehingga 1 Mei di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Walaupun parti itu kini kelihatan bebas daripada kontroversi, namun muktamar tahun ini tidak kurang menariknya dengan beberapa isu dijangka dibincangkan perwakilan.

Antaranya hubungan PAS dengan PKR, PPBM, Umno dan kerajaan Selangor, selain persediaan untuk PRU14 dan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Hadi di Dewan Rakyat.

Isu lain yang mungkin dibangkitkan ialah nasib Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang lantang mengkritik kepimpinan dan hala tuju PAS kebelakangan ini.

Ulama PAS lulus usul putus kerjasama dengan PKR

Pemuda PAS lulus usul ‘cerai talak 3’ dengan PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.