
Beliau berkata kematian kanak-kanak berumur 11 tahun itu menjadi kes berprofil tinggi selain menjadi perhatian umum dan pihaknya kini melakukan yang terbaik agar tindakan lanjut dapat dilakukan segera.
“Laporan bedah siasat masih dalam proses dan kita belum mendapat apa-apa maklumat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik dan Sambutan Hari Juruteknologi Makmal Perubatan peringkat kebangsaan ke-3 hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi laman rasmi Facebooknya semalam yang mahu supaya siasatan kes kematian Thaqif dipercepatkan.
Thaqif meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Kisah Thaqif yang dimasukkan ke HSI pada 19 April tersebar di media sosial selepas dia dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas dipercayai dipukul pembantu warden madrasahnya.
Selepas kedua-dua belah kaki dipotong, tangan kanan Thaqif pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku semalam, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilapor tidak stabil.
Dr Hilmi berkata sekolah kerajaan atau swasta diminta lebih berhati-hati dan membuat semakan kesihatan atau latar belakang individu terutama mereka yang mahu diambil sebagai pendidik.
Beliau berkata pengamal perubatan terutama golongan pakar di negara ini disarankan meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing bagi memenuhi keperluan semasa dalam industri perubatan di dalam dan luar negara.
Katanya inisiatif berkenaan ialah bagi memastikan industri perubatan negara tidak ketinggalan di belakang negara lain selain menjadikan golongan berkenaan boleh dipasarkan terutama di negara luar.
“Pakar kita terutama dalam bidang pembedahan jantung banyak mendapat permintaan daripada negara luar bukan hanya secara individu tetapi secara berkumpulan.
“Mereka bukan hanya mahukan pakar tetapi termasuk juga jururawat dan ini adalah satu penghormatan pada kita,” katanya.
Beliau berkata setakat ini negara mempunyai kira-kira 9,000 pakar perubatan di hospital kerajaan dan swasta meliputi 120 bidang termasuk dalam perubatan, pembedahan dan ortopedik.