Jenazah Thaqif selamat dikebumikan

Jenazah Thaqif selamat dikebumikan

Jenazah disembahyangkan di rumah datuknya, dan sebelum itu di hospital diimami timbalan menteri, Asyraf Wajdi Dusuki.

thaqif
KOTA TINGGI: Jenazah pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Aping Timur, pada 12.37 tengah malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di rumah datuknya, Ahmad Motai dekat sini.

Turut mengiringi jenazah pelajar itu adalah bapanya Mohd Gaddafi Mat Karim.

Jenazah Thaqif, 11, disembahyangkan di rumah datuknya, kira-kira 1 km dari tanah perkuburan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Asiah Md Ariff turut menziarahi keluarga Thaqif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki meluangkan masa menziarahi dan mengimamkan solat jenazah di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Jenazah Thaqif dibawa keluar dari HSI kira-kira 10.50 malam selepas selesai bedah siasat.

Thaqif, yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia petang semalam di HSI.

Pelajar itu dijadual menjalani pembedahan memotong tangan kanannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi semalam, namun, ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Kisah Thaqif menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.

Pembantu warden lelaki berusia 29 tahun itu kemudian ditahan dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.