
“Itu bukan saya. Mereka cuba mengaitkan saya dengan sesuatu yang saya tidak lakukan,” katanya kepada FMT ketika ditanya mengenai video yang dikatakan menyinggung perasaan orang Melayu itu.
Beliau mendakwa pihak yang cuba mengaitkannya dengan video itu sekadar mahu meraih publisiti murah dan juga berniat jahat.
Rakaman video selama 1 minit itu pada mulanya dimuat naik ke sebuah laman Facebook seorang ketua NGO dengan memaparkan seorang lelaki bercakap di latar belakang dan mendakwa orang Melayu tidak mempunyai identiti sendiri, termasuk agama dan bahasa. Ia kemudiannya dipadamkan.
Video itu muncul beberapa hari selepas kumpulan hak asasi India itu mengkritik “puisi pagi Jumaat” Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin pada minggu lalu yang menyelar golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
Asri menjadi kritikan pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu kerana menulis puisi itu di tengah-tengah bantahan NGO bukan Islam, termasuk kumpulan Hindraf terhadap kehadiran pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik di Malaysia.
Asri kemudiannya memadamkan puisi itu di Facebooknya dan memohon maaf kepada penganut Hindu yang “tersalah faham” maksud “puisi pagi Jumaat”, selepas pelbagai kecaman dan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
Beliau berkata, puisi itu sebenarnya menyasarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang didakwa membiarkan umat Islam dibunuh dengan kejam seperti lembu – haiwan yang dianggap suci oleh penganut Hindu, hanya kerana mereka memakan daging lembu.
Sabtu lalu, Waythamoorthy dilaporkan sebagai berkata, Asri kini berada di bawah pengaruh Zakir yang pernah mendapat Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2013 dan dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.
“Menjemput Zakir ke Malaysia sudah mengundang pergolakan besar dalam pemikiran rakyat Malaysia. Jika Zakir boleh merosakkan mufti Perlis untuk muncul dengan puisi yang menghina secara terang-terangan, maka Zakir berjaya meradikal dan memesongkan cara berfikir mufti yang dihormati,” kata Waythamoorthy.