RM500 juta untuk 2 juta orang India mana cukup, kata PKR

RM500 juta untuk 2 juta orang India mana cukup, kata PKR

N Surendran membandingkan jumlah peruntukan di bawah pelan membantu masyarakat India dengan pinjaman yang diberikan kepada syarikat NFC dulu.

surendran
PETALING JAYA: PKR menganggap RM500 juta yang diperuntukkan kepada golongan berpendapatan bawah 40% (IB40) di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) sebagai jumlah yang terlalu kecil untuk 2 juta rakyat keturunan India di negara ini.

“Adakah ia mencukupi untuk masyarakat India berjumlah 2 juta orang? Bandingkan ini dengan RM250 juta diberikan kepada sebuah syarikat bernama NFC, yang diuruskan ahli keluarga pemimpin kanan BN,” kata Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kontroversi skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) beberapa tahun lalu melibatkan ahli keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang dilaporkan menerima pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta.

MIB dilancarkan Ahad lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Antara program yang bakal diperkenalkan adalah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, pertolongan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam, dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang India yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Surendran berkata pelan itu bukan sahaja memperuntukkan jumlah yang terlalu sedikit, tetapi juga sesuatu yang sudah “terlalu lewat”.

Menurutnya, janji pentadbiran Najib membantu masyarakat itu seperti diumumkan dalam perjanjian pilihan raya umum ke-13 dulu masih belum dipenuhi.

“Daripada melaporkan apa yang mereka sudah lakukan untuk menambah baik situasi masyarakat India sejak 4 tahun lalu, mereka mengumumkan satu lagi pelan besar!

“Pelan ini tidak jelas butirannya, peruntukan dananya dan mekanisme pelaksanaannya,” tambah Surendran.

 

Orang India mahu hak, peluang sama rata, bukan pelan tindakan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.