
Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, keutamaan kini diberi kepada Thaqif dan keluarganya, terutama ibu bapanya.
“Kami sedang bertanggungjawab dan sedang memberi penghormatan kepada keluarga ini dengan tidak menjawab apa pun dakwaan, sekalipun ia terpaksa mencalar nama baik MTAJ.
“Kerana apa jua jawapan kami, ia memungkinkan untuk mengganggu siasatan, sekaligus menambah bebanan emosi kepada keluarga Thaqif.
“Oleh itu, bagi memberi laluan kepada siasatan yang telus, MTAJ mengambil keputusan untuk terus memberi sokongan moral, semangat dan mewujudkan hubungan baik antara MTAJ dengan kedua ibu bapa Thaqif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Afdhaluddin berkata demikian bagi menjelaskan tindakan beliau tidak menjawab dakwaan pembantu warden asrama pusat tahfiz itu merotan Thaqif menggunakan paip getah, ketika beliau bersama 10 pelajarnya melawat mangsa petang tadi.
Afdhaluddin berkata, pihaknya sudah memberi kerjasama kepada polis, Jabatan Agama Islam negeri dan pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, sidang media akan diadakan dalam masa terdekat selepas mendapat keputusan penuh siasatan polis atau pasukan perubatan berhubung kes Thaqif.
Kisah pelajar berusia 11 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, minggu lalu menjadi tular di media sosial. Beliau didaftar masuk ke sekolah tahfiz itu pada 27 Januari lalu.
Thaqif dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas, dipercayai akibat dipukul pembantu warden asrama.
Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.
Hari ini, ibu saudara mangsa, Dzuraidah Ahmad dilaporkan berkata, tangan kanan Thaqif mungkin dipotong kerana ia sudah bertukar hitam sehingga paras siku.
Seorang pembantu warden tersebut direman 4 hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kes pelajar dipotong kaki: Pengetua sekolah tahfiz ‘kunci mulut’