‘Fitnah totok’ saya paksa taja Kelantan, kata Annuar selepas dipanggil Mara

‘Fitnah totok’ saya paksa taja Kelantan, kata Annuar selepas dipanggil Mara

Beliau gembira dapat berjumpa dengan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara dan media hari ini bagi menjelaskan hal sebenar.

annuar-musa4
KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini digantung, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau sama sekali tidak terlibat dengan “penajaan” 2 anak syarikat Mara dengan pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pihak pentadbiran Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan masing-masing menggunakan peruntukan pemasaran dan penjenamaan.

Annuar yang juga bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, dakwaan menggunakan “dana pendidikan” Mara untuk menaja The Red Warriors adalah “fitnah totok”.

“Saya tidak pernah mengarah sesiapa dalam Mara, apatah lagi menggunakan dana seperti pendidikan dan biasiswa (untuk urusan itu). Tiada satu sen pun. Mereka menggunakan peruntukan pemasaran dan penjenamaan.

“Kemudian soal penyelewengan atau konflik kepentingan. Sebagai pengerusi, saya tidak akan berkompromi dalam soal integriti,” katanya selepas memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan perjanjian penajaan Pelaburan Mara Bhd dan UniKL dalam pasukan bola sepak negeri Kelantan itu.

Isu itu ditimbulkan pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas pertikaman lidah antara mereka berdua.

Annuar menjelaskan wujud salah faham mengenai urusniaga antara 2 anak syarikat Mara dengan TRW, yang menurutnya bersifat komersial dan bukannya penajaan.

Untuk menampung perbelanjaan pasukan, katanya, TRW menawarkan pakej iklan pada jersi pasukan dengan nilainya ditentukan penilai profesional.

“Misalnya iklan di bahagian depan jersi bernilai RM1-3 juta, di bahu RM500,000 dan bahagian belakang RM200,000-300,000.

“Antara yang pernah menaja kami adalah Celcom dan Adabi. Kami tidak memakai konsep tajaan, sebaliknya menjadi media untuk penjenamaan produk. Apa yang berlaku dengan anak syarikat Mara tidak lari daripada itu,” katanya.

Malah, katanya lagi, PMB mendapat “diskaun” dengan hanya perlu RM200,000 iaitu kurang daripada nilai iklan sebenar memandangkan kedudukannya sebagai anak syarikat agensi kerajaan.

“UniKL pula mengambil pakej seperti syarikat lain, tetapi hanya mereka mendapat hak mengeluarkan jersi sendiri membawa logo TRW. Anak-anak syarikat Mara mendapat urusniaga terbaik (berbanding pengiklan lain),” katanya.

Annuar bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila timbul salah faham berhubung istilah dan proses urusniaga tersebut.

“Baguslah saya dipanggil jawatankuasa audit dalaman. Saya berpeluang memberi penjelasan dan saya rasa mereka menerima penjelasan saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.