DAP: Pelan tindakan kaum India hanya gimik politik BN

DAP: Pelan tindakan kaum India hanya gimik politik BN

Kulasegaran berkata, masyarakat India tidak akan menghadapi begitu banyak isu belum selesai jika kerajaan ikhlas dan efektif dalam membantu mereka.

kula-1
KUALA LUMPUR:
Jika perdana menteri serius membela nasib masyarakat India, beliau sepatutnya membenarkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen merangka pelan tindakan itu, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

“Ini akan menjadi komprehensif dan holistik kerana input daripada spektrum luas masyarakat boleh diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Selepas itu, laporan kemajuan dan pencapaian yang dibuat perlu dibentangkan di Parlimen setiap tahun. Ini akan memastikan wujud semak dan imbang terhadap apa yang sudah atau tidak dilakukan dan diumumkan kepada semua.”

Ahad lalu, Datuk Seri Najib Razak melancarkan rancangan pembangunan 10 tahun di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

Antara program yang bakal diperkenalkan adalah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, bantuan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam, dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang Inida yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Pelan tindakan itu disediakan kerajaan dan pelaksanaannya akan dipantau sebuah jawatankuasa eksekutif dipengerusikan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Kulasegaran berkata, pelan tindakan itu tidak meyakinkan.

“Kami mempunyai Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan di bawah beliau selama 4 tahun. Apa hasilnya? Tiada apa-apa yang nyata diberikan kepada masyarakat itu,” dakwanya.

Naib presiden DAP itu mengulas pelan tindakan dengan peruntukan lebih RM1 bilion yang bertujuan meningkatkan taraf hidup kaum India di Malaysia. Najib berkata, ia bukan “cakap kosong” kerajaan.

Walaupun Najib berkata pelan tindakan itu tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum akan datang, Kulasegaran berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod hanya mengumumkan langkah yang “sedap didengar” setiap kali menjelang pilihan raya.

Oleh itu, beliau berkata, “pelan tindakan itu sudah tentu dilancarkan untuk meraih sokongan pengundi kepada BN yang mungkin berdepan pretasi terburuk dalam pilihan raya umum akan datang”.

Beliau berkata, jika kerajaan BN benar-benar ikhlas, komited dan efektif dalam membantu masyarakat India, mereka tidak akan menghadapi begitu banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, perumahan dan pekerjaan.

“Isu kaum India tanpa kerakyatan boleh diselesaikan lama dahulu.

“Malah, pada 2000, majalah Time menyiarkan artikel mengenai kaum India di Malaysia yang menggambarkan mereka ‘kelas bawahan tidak berpuas hati’ dengan kebanyakan daripada mereka merasakan diri seperti ‘warganegara kelas ke-3’ di negara ini dan ‘benar-benar tidak berguna’ sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970.

“Tujuh belas tahun kemudian, adakah nasib masyarakat India lebih baik? Dan apa yang kerajaan sudah lakukan?” soalnya.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Najib akan memastikan pelan tindakan itu benar-benar berkesan untuk memanfaatkan kaum India.

“Bercakap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-70 Oktober lalu, Najib berkata, sebuah pelan tindakan masyarakat India adalah perlu kerana inisiatifnya pada masa lalu bagi kaum India tidak berkesan mencapai akar umbi masyarakat itu.

“Jadi, adakah ini tidak bermakna pelancaran pelan tindakan itu mencerminkan kegagalan kerajaan pada masa lalu dalam membantu masyarakat itu?”

Katanya, masyarakat India tentu mempunyai banyak sebab untuk memikirkan MIB hanyalah gimik politik dan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.