
Beliau mengulas “puisi pagi Jumaat” Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin pada minggu lalu yang menyelar golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
“Kalau kita menegur pun, kita harus membina. Kita boleh bercakap tentang isu perkauman, tetapi niatnya ialah untuk menyatupadukan, bukan untuk membelah.
“Kita harus membina bukan merosakkan, apa lagi di tanah air kita ini, kita hidup di tengah berbagai kaum, jadi kita harus menyedari dan menghormati sensitiviti kaum-kaum yang lain juga.
“Kita harus faham negara ini berbilang kaum. Setiap kaum mempunyai cara hidup, kepercayaannya, agamanya tersendiri, dan kita harus menghormati itu,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Samad kepada FMT hari ini.
Asri menjadi kritikan pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu kerana menulis puisi itu di tengah-tengah bantahan NGO bukan Islam, termasuk kumpulan Hindraf terhadap kehadiran pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik di Malaysia.
Asri yang merupakan antara tokoh paling lantang mempertahankan Zakir yang dikehendaki pihak berkuasa India dalam siasatan pengubahan wang haram dan mempromosi kebencian agama, memadamkan puisi itu daripada Facebooknya semalam, susulan pelbagai kecaman dan beberapa laporan polis terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau kekal mempertahankan alasannya yang puisi itu tidak ada kena-mengena dengan isu Zakir, sebaliknya mengenai dasar kerajaan pimpinan Modi yang menurutnya menzalimi umat Islam kerana menyembelih lembu, binatang yang dianggap suci bagi penganut majoriti Hindu di India.
Mengulas lanjut, Samad berkata, seorang pemimpin atau tokoh sepatutnya memahami sensitiviti orang ramai sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jadi, kalau kita nak tegur pun, kita mesti faham dulu bukan hanya menegur sahaja, nanti ini tidak membina.
“Pokoknya, menyedari penghuni negara ini berbilang kaum dan agama, maka kita perlu santun apabila berkata tentang kepercayaan orang lain. Saya kira mufti tersebut bersuara atas kepercayaan dan kesedaran itu.”